Landasan 265km Salak Selatan-Seremban, KL-Pelabuhan Klang adalah selamat | DagangNews Skip to main content

Landasan 265km Salak Selatan-Seremban, KL-Pelabuhan Klang adalah selamat


KUALA LUMPUR 23 Jun – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, projek landasan sepanjang 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang adalah selamat dan boleh digunakan untuk operasi tren penumpang dan barang.

 

Jaminan itu dikeluarkan, meskipun projek menaik taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) masih dalam proses penyediaan tender baharu oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, kata KTMB di sini hari ini.

 

Penyelenggaraan infrastuktur bagi laluan yang terlibat dengan projek KVDT2 tetap dilakukan oleh KTMB mengikut jadual yang disediakan secara mingguan.

 

Di samping itu, pemeriksaan oleh pasukan peronda landasan dan jentera pemeriksa dijalankan secara berkala bagi mengesan sebarang keadaan yang memerlukan pembaikan.   

  

Ketua Pegawai Teknikalnya, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, walaupun projek ini dihentikan buat sementara waktu, KTMB tidak akan menggunakannya sebagai alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi memastikan landasan berada dalam keadaan baik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang.

 

Penyelenggaraan landasan adalah tugas yang berat dan mencabar kerana kebanyakan kerja-kerjanya melibatkan jentera dan sejumlah tenaga pekerja. 

 

Sebagai contoh, untuk kerja-kerja penukaran rel sepanjang 50 meter, beratnya adalah sekitar 2.7 tan.  Tambah menyulitkan, ia perlu pula disiapkan dalam tempoh 4 jam sebelum perkhidmatan tren kembali beroperasi sekitar jam 5 pagi setiap hari.

 

“Apa yang membezakan situasi sekarang dan penyiapan projek KVDT 2 adalah kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan oleh KTMB ketika ini adalah ia dalam skala yang kecil, iaitu mengikut lokasi-lokasi tertentu yang memerlukan lebih perhatian, dan ianya bersifat lebih kepada penyelesaian jangka pendek.

 

“KTMB berharap agar projek KVDT 2 diteruskan segera untuk memastikan  keselamatan perkhidmatan kereta api terjamin dan mengurangkan tempoh perjalanan perkhidmatan penumpang dan juga kargo. Sekiranya kedua-dua faktor tersebut dapat dicapai, semestinya KTMB dapat menyediakan perkhidmatan yang efisien bagi perkhidmatan penumpang dan kargo,” menurut KTMB.

 

Perkhidmatan penumpang dan kargo telah banyak terjejas sejak bermulanya projek KVDT 1 dan KVDT 2 di mana operasi tren di beberapa jajaran adalah terhad kepada landasan tunggal mengakibatkan kekerapan tren terpaksa dikurangkan dan tempoh perjalanan meningkat. 

 

Akibat dari itu juga, jumlah penumpang KTM Komuter telah menunjukkan angka penurunan yang ketara iaitu dari 136,375 orang pada tahun 2015 kepada 65,627 orang pada tahun 2019.

 

KVDT2 asalnya merupakan projek yang dibangunkan oleh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) yang merupakan sebuah syarikat bumiputera bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membentuk syarikat usaha sama, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

 

Antara skop kerja KVDT2 adalah menggantikan landasan kereta api berusia lebih 27 tahun itu dengan landasan baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen-stesen kereta api terbabit. - DagangNews.com