Landskap Pasaran Modal Pada Hari Ini | DagangNews Skip to main content

Landskap Pasaran Modal Pada Hari Ini

 

AIMI AIZAL NASHARUDDIN
Oleh AIMI AIZAL NASHARUDDIN

 

 

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia, baru-baru ini telah melancarkan Pelan Pasaran Modal 3  yang menggariskan 6 teras pembangunan dan peraturan dalam mendorong keberhubungan (relevancy), kecekapan dan kepelbagaian yang lebih besar dalam Pasaran Modal.

 

Walaubagaimanapun, cabaran yang berterusan adalah untuk terus mengikuti perkembangan kemunculan kelas aset-aset yang baru yang memasuki ruang pasaran modal.

 

Trend ini akan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang dan pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan lain-lain harus memainkan peranan yang lebih menarik dalam mengekalkan atau bahkan meningkatkan integriti pasaran modal dari perspektif semua pihak berkepentingan.

 

Namun begitu, hakikatnya pasaran modal global terus berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini sehingga kini.

 

Walaupun dilanda penularan wabak COVID-19 dan turun naik pasaran, industri pasaran modal terus berkembang, tidak kira dari segi penerbitan aset, perdagangan sekuriti atau penyelesaian transaksi yang diproses dan disimpan di seluruh pasaran.

 

Punca yang jelas akan perkembangan ini berlaku adalah kerana terdapat lebih banyak instrumen modal yang tersedia di luar sana yang membolehkan syarikat-syarikat mengakses pasaran modal untuk mengumpul dana.

 

Sejak beberapa dekad yang lalu, kita dapat melihat evolusi di dalam ekosistem pasaran modal. Landskap pasaran modal pada hari ini lebih banyak dipengaruhi oleh keperluan syarikat-syarikat untuk dapat mengakses kepelbagaian instrumen modal dan agar pelabur dapat memaksimumkan pulangan mereka dengan cara yang paling mudah.

 

Sekuriti Digital - Aset Generasi Baru

Sekuriti digital atau sekuriti token adalah versi pemilikan digital yang dibina berdasarkan teknologi berasaskan “blockchain” yang dikendalikan oleh kontrak pintar (smart contract) untuk pelbagai ekuiti awam dan swasta, hutang, hartanah, pecahan pemilikan dan aset-aset lain.

 

Oleh kerana sekuriti digital kini semakin diguna pakai di pasaran kewangan, kita dapat melihat bahawa pihak-pihak berkepentingan telah banyak  melabur dalam projek yang menyokong penerbitan, pertukaran dan penyimpanan sekuriti digital.

 

Kita juga dapat melihat bagaimana pengawal selia di seluruh dunia berusaha untuk menguruskan pasaran kripto dan mencari cara untuk menerapkan serta mengguna pakai undang-undang sedia ada ke atas tawaran sekuriti token bagi memastikan pematuhan serta kawalan.

 

Apabila peraturan standard menjadi norma, penggunaan sekuriti digital tidak dapat dielakkan.

 

Aset-aset generasi baru ini memberi kaedah baru bagi syarikat-syarikat yang tidak dapat melakukannya di pasaran modal tradisional untuk mengakses pasaran modal untuk mengumpul dana.

 

Pelabur pula  mempunyai lebih banyak pilihan instrumen pelaburan untuk memenuhi pelbagai risiko portfolio.

 

Tahap umur pelabur-pelabur kini juga berbeza berbanding zaman dahulu. Golongan belia kini lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti pelaburan.

 

Sekuriti digital ini memberikan keterangkuman dalam ekosistem pasaran modal yang membolehkan pelaburan secara mikro serta menjangkau perniagaan-perniagaan kecil di seluruh dunia.

 

atasplus

 

Meningkatkan Penentuan Harga dengan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)

Selama bertahun-tahun, disebabkan kecairan dan perdagangan yang tidak tetap, adalah amat sukar untuk mengumpulkan maklumat penilaian.

 

Pasaran bergantung pada proses manual terpencil antara pelbagai pihak perdagangan, menghasilkan set data dan penyimpangan dan desentralisasi maklumat yang berbeza.

 

Oleh kerana sebut harga percuma tidak tersedia ada, cara terbaik untuk mendapatkan sebut harga adalah dengan menunggu maklum balas dari broker-broker atau menghubungi syarikat data yang menyediakan data yang diperlukan setelah pasaran ditutup.

 

Cabaran sebegini menjadi lebih sengit dan rumit di dalam perdagangan bon berbanding ekuiti kerana setiap bon mempunyai ciri undang-undang dan kewangan yang unik.

 

Kecerdasan Buatan (AI) adalah teknologi penyelesaian yang mengimbas dan menggabungkan data yang luas termasuk statistik, corak sejarah dan trend.

 

Dengan memperkasakan lagi data-data ini dengan algoritma kompleks yang menghasilkan analisis untuk membantu membuat keputusan, meningkatkan prestasi perdagangan dan mengurangkan kos operasi.

 

RFQ yang disokong oleh algoritma AI dan Robo Advisor adalah contoh bagaimana AI telah diguna pakai di pasaran modal.

 

Teknologi Blockchain Meningkatkan Ketelusan Data

Selain dari menguruskan aset atau token digital, blockchain juga menawarkan keupayaan penting untuk menyimpan data dengan cara yang selamat dan telus serta menjadikannya mudah diakses oleh pelbagai pihak berkepentingan.

 

Ia memberikan ketelusan dan pengesanan data sekaligus mencegah penipuan pada masa yang sama. Ia adalah lejar diedarkan yang membolehkan pengesahan dilakukan di seluruh rangkaian.

 

 

atasplus

 

 

Apabila rantaian semakin besar, lebih banyak pengesahan diperlukan. Maka ini menjadikan manipulasi lejar bertambah sukar dan mustahil.

 

Seseorang pesalah laku perlu menghabiskan lebih dari AS$1.4 bilion untuk `menyerang' hanya 51% dari lejar Bitcoin dengan jayanya. Bitcoin merupakan rangkaian blockchain awam yang paling popular.

 

Penerapan teknologi blockchain mungkin tidak banyak digunakan oleh firma-firma pasaran modal, tetapi kita sudah dapat melihat pelbagai penyelesaian inovatif yang digunakan untuk mengatasi masalah  pematuhan peraturan, skala dan privasi di peringkat antarabangsa. 

 

Pada asasnya, apabila semua peserta di dalam penyelesaian transaksi memperolehi ketelusan terhadap data yang serupa, maka  sesebuah organisasi akan dapat mengurangkan kos dengan signifikan sambil mencapai kecekapan operasi disebabkan penyesuaian transaksi yang berkurangan.

 

Pengautomasian Proses Robotik (RPA)

Firma-firma dan penyedia-penyedia perkhidmatan kini  tertekan untuk mengurangkan proses berkaitan  “Know-Your-Customer” atau KYC, yang memaksa mereka untuk melakukan usaha transformasi yang berkaitan.

 

Untuk mengekalkan pasaran kewangan yang kompleks dan kompetitif, firma-firma perlu meningkatkan kecekapan dalam operasi juga keuntungan dan menyediakan pengalaman pelanggan yang lancar.

 

 

atasplus

 

 

RPA digunakan kerana kemampuannya yang maju untuk menangani proses yang memakan waktu yang lama serta mempermudahkan langkah-langkah dalam penyertaan pelanggan, pengambilan data dan proses pengesahan.

 

Kesimpulannya, landskap pasaran modal hari ini, termasuk bagaimana pengawal selia membentuknya di masa depan akan banyak dipengaruhi oleh teknologi atau juga dikenal sebagai Teknologi Kewangan atau Fintech.

 

Fintech telah mengurangkan jurang di antara para pelabur dan mereka-mereka yang menerima pelaburan.

 

Pada masa yang sama, Fintech juga memudahkan, bukan sahaja kepada komuniti pelabur, malah juga kepada seluruh pemegang kepentingan ekosistem dengan menyediakan proses yang lebih efisien dan menjimatkan kos.

 

Landskap dan dinamik pasaran modal pada masa  akan datang mungkin, atau, akan berubah secara total berbanding sekarang. Disebabkan itu, kerjasama di antara pasaran modal dengan Fintech dalam mengharungi keperluan pihak-pihak berkepentingan yang lebih kompleks,  tidak dapat dielakkan. – DagangNews.com

 

       Oleh AIMI AIZAL NASHARUDDIN merupakan Pengarah Eksekutif Ata Plus

atasplus