Langkah India sekat eksport gula, boleh jejaskan lagi margin MSM Malaysia | DagangNews Skip to main content

Langkah India sekat eksport gula, boleh jejaskan lagi margin MSM Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sekatan eksport gula yang dikuatkuasakan India mulai 1 Jun ini, dilihat akan terus memberi tekanan kepada margin MSM Malaysia Holdings Bhd., menurut CGS-CIMB Research.

 

Namun, katanya, langkah berkenaan tidak menjejaskan bekalan gula mentah MSM memandangkan syarikat mengimport gula mentah kebanyakannya dari Brazil.

 

Bagaimanapun, jelas firma itu, dasar perlindungan berterusan atau penggantian perdagangan daripada negara pengeksport utama seperti Brazil (pengilang Brazil telah mengalihkan tebu kepada pengeluaran etanol disebabkan harga tenaga yang tinggi) boleh memburukkan lagi kekurangan gula global semasa dan menaikkan harga niaga hadapan gula mentah (NY11) dalam tempoh sederhana. 

 

"Harga NY11 yang tinggi ini boleh memberi tekanan kepada margin operasi MSM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23). 

 

"Ini kerana, kebiasaannya gula mentah merangkumi 80% daripada kos operasi dan MSM hanya melindung nilai kira-kira 21% daripada keperluan gula mentahnya untuk FY23 pada AS$0.15 hingga AS$0.16.

 

"Oleh itu, kami menunjukkan potensi risiko penurunan pada ramalan pendapatan FY23-FY24 kerana kami tidak mengambil kira kos gula mentah yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati harga gula mentah telah meningkat sehingga 27% pada tahun lalu dan 9% setakat tahun ini.

 

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Syed Feizal Syed Mohammad berkata, adalah wajar untuk kerajaan meneliti semula harga gula selepas harga komoditi itu naik 1 sen sekilogram dalam tempoh 11 tahun lalu.

 

Secara keseluruhan CGS-CIMB mengulangi saranan 'kurang' terhadap MSM dengan harga sasaran tidak berubah pada 93 sen.

 

Ini memandangkan kumpulan akan terus berdepan pemampatan margin dalam FY22 hingga FY23 di tengah-tengah kos gula mentah, pengangkutan dan penapisan yang lebih tinggi.

 

Semalam, India mengumumkan sudah mengehadkan eksport gula bagi melindungi bekalannya serta mengawal inflasi, beberapa hari selepas menyekat eksport gandum yang menyebabkan harga global melonjak susulan perang di Ukraine.

 

Pengeluar gula terbesar dunia dan pengeksport nombor 2 selepas Brazil itu menjelaskan, penghantaran akan dihadkan kepada 10 juta tan untuk tahun pemasaran semasa hingga September.

 

Kementerian Makanan India dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diambil bertujuan menjamin bekalan domestik serta memastikan kestabilan harga sepanjang musim gula.

 

Menurut CGS-CIMB, berdasarkan ramalan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), pasaran menjangkakan eksport gula dari India akan meningkat sehingga 8 juta tan metrik tahun ini.

 

Firma itu berpendapat, sekatan eksport sehingga 10 juta tan metrik tidak seharusnya memberi kesan yang ketara kepada dinamik bekalan-permintaan global pasaran gula dalam tempoh terdekat.

 

"Pada masa sama, kami juga dapati harga NY11 tidak bertindak balas terhadap keputusan yang dilaksanakan India. 

 

"Selain itu, sekatan ini tidak mengejutkan pasaran memandangkan kerajaan India sebelum ini mempertimbangkan untuk menyekat eksport gula kepada 8 juta tan metrik pada Mac 2022," jelasnya.

 

Bagaimanapun, katanya, dalam senario terburuk, ketersediaan eksport yang lebih rendah dalam industri gula global boleh menyebabkan harga gula lebih tinggi.

 

"Ini boleh menyebabkan harga gula mentah yang diimport lebih tinggi untuk kilang penapisan gula,  seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga tambahan kepada pembeli industri di Malaysia.

 

"Buat masa ini, harga jualan runcit gula bijirin kasar di Malaysia dihadkan pada RM2.85 sekilogram dan gula pasir halus pada RM2.95 sekilogram," katanya. - DagangNews.com