Lanjutan moratorium 3 bulan manfaatkan 1,053 koperasi - MEDAC | DagangNews Skip to main content

Lanjutan moratorium 3 bulan manfaatkan 1,053 koperasi - MEDAC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melanjutkan tempoh kemudahan moratorium sehingga 3 bulan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN 3.0).

 

Langkah itu dibuat bagi membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Kemudahan tersebut juga adalah tambahan kepada kemudahan moratorium PKP 3.0 yang ditawarkan sebelum ini bagi tempoh selama 3 bulan bermula Jun hingga Ogos 2021 seperti diumumkan di bawah inisiatif
Pemerkasa Plus.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjangkakan kemudahan moratorium tambahan ini akan memanfaatkan 1,053 koperasi dengan anggaran penangguhan pembiayaan berjumlah RM92.4 juta.

 

Katanya, kemudahan moratorium PPN 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM). 

 

"Bagaimanapun, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium ini tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggota-anggota koperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebanyak 127 buah koperasi dengan 255 akaun pembiayaan di bawah TMPSKM telah diluluskan moratorium PKP 3.0 sebelum ini dengan anggaran kos RM8.3 juta akan diberikan lanjutan tambahan secara automatik di
bawah PPN 3.0 selama 3 bulan lagi. 

 

Kutipan bayaran balik bagi pembiayaan ini hanya akan dibuat mulai Disember 2021.

 

Tawaran penangguhan pembayaran selama 6 bulan ini juga dibuka kepada permohonan pembiayaan TMPSKM baharu yang dikemukakan sehingga 31 Julai 2021 dengan kutipan bayaran balik hanya akan bermula pada  Januari 2022. 

 

Proses permohonan baharu bagi kemudahan moratorium PPN 3.0 telah dipermudahkan di mana koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh 3 bulan secara atas talian.

 

Bagaimanapun, tawaran moratorium adalah berbentuk sukarela di mana, impak penangguhan pada masa kini akan menyebabkan lanjutan dalam tempoh pinjaman. 

 

Koperasi perlu bersetuju untuk pemanjangan tempoh pinjaman berikutan permohonan moratorium. SKM tiada hak untuk memanjangkan tempoh pinjaman tanpa persetujuan dari koperasi.

 

Sehubungan itu, koperasi perlu mengemukakan permohonan untuk kemudahan moratorium berkenaan sebagaimana dilaksanakan oleh bank-bank kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah tawaran moratorium Pemulih.

 

Kaedah pemberian moratorium PPN 3.0 ini selari dengan kaedah moratorium automatik yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu pelaksanaan penangguhan bayaran adalah melalui cek dan standing instruction (SI) bank koperasi.

 

Oleh demikian, koperasi memerlukan surat kelulusan untuk menghentikan SI tersebut, dan pihak SKM tidak ada kuasa untuk menghentikan SI bank koperasi. 

 

Melalui permohonan yang dibuat oleh koperasi, SKM akan mengeluarkan surat kelulusan untuk kegunaan koperasi bagi menghentikan bayaran SI. - DagangNews.com