Lanjutan PKPB ganggu pemulihan pusat beli-belah IGB REIT pada 2H20 | DagangNews Skip to main content

Lanjutan PKPB ganggu pemulihan pusat beli-belah IGB REIT pada 2H20

Mid Valley

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 November nanti dilihat mengganggu proses pemulihan pusat beli-belah di bawah kendalian IGB Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), IGB REIT pada separuh kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, bagaimanapun  pihaknya tetap memberi keyakinan penuh kepada dua pusat beli-belah utama IGB REIT untuk mencatatkan pemulihan yang kuat selepas pelaksanaan PKPB.

"PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dilanjutkan hingga 9 November susulan peningkatan kes COVID-19 yang berkemungkinan mengganggu pemulihan pusat beli-belah runcit pada separuh kedua 2020.

"Namun, kami yakin dua pusat beli-belah utama IGB REIT iaitu Mid Valley dan The Gardens yang memiliki kadar penghunian yang tinggi lebih cenderung untuk mencatatkan pemulihan lebih kukuh selepas PKPB berbanding kawasan bandar lain," kata CGS-CIMB Research.

PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada awalnya dijalankan selama dua minggu bermula 14 hingga 27 Oktober 2020.

Bagaimanapun, perintah tersebut dilanjutkan kepada dua minggu lagi hingga 9 November 2020.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research turut mengurangkan dividen sesaham (DPS) IGB REIT sebanyak 7% hingga 16%.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada tiga pertimbangan pihaknya berkaitan prospek pendapatan sewa yang lebih lemah, margin pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lemah dan kadar penghunian yang lebih rendah.

"DPS tahun 2020,2021 dan 2022 disemak semula dengan nilai masing-masing sebanyak 7.1 sen, 8.4 sen dan 8.8 sen.

"Kami kekalkan saranan 'tambah' saham IGB REIT dengan nilai sasaran sesaham (TP) yang disemak semula kepada RM1.85 berbanding RM1.98 pada sebelumnya," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com