Lanjutan RP2 beri kelebihan kepada TNB | DagangNews Skip to main content

Lanjutan RP2 beri kelebihan kepada TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Lanjutan Tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) hingga 31 Disember 2021 memberi kelebiha kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada lanjutan tersebut, permintaan elektrik TNB dijangka mengalami pertumbuhan 2.9% kepada 113,909 GWj.

 

“Menerusi pelanjutan RP2, tarif asas yang kekal pada 39.45 sen/kWj dan Kos Modal Purata Wajaran (weighted average cost of capital – WACC) yang ditetapkan pada 7.3%, dapat memastikan pulangan yang stabil bagi entiti perniagaan TNB yang dikawal selia. 

 

"Perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi dibenarkan lebih tinggi, masing-masing pada RM7.3 bilion dan RM6.3 bilion berbanding purata tahunan RM6.6 bilion dan RM6.1 bilion pada RP2. 

 

"Peruntukan yang lebih tinggi bagi Hutang Ragu (Doubtful Debt) juga diluluskan pada RM200 juta pada tahun kewangan 2021 berbanding RM94.3 juta pada tahun kewangan 2020," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan 

 

Pelanjutan tersebut turut membuktikan keberkesanan mekanisme IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) untuk mengekalkan kestabilan industri tenaga. 

 

IBR adalah mekanisme untuk penetapan tarif elektrik berserta insentif untuk meningkatkan kecekapan TNB, dan memberi ketelusan kepada pengguna. 

 

Tambah beliau, TNB juga telah menyerahkan kertas cadangan RP3 kepada ST hari ini, 26 Februari 2021. 

 

RP3 akan bermula pada 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengemukakan laporan keputusan kewangan bagi tahun kewangan 2020.

 

.

 

TNB mencatatkan keuntungan bersih atau keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.6 bilion bagi tahun kewangan 2020 (FY20), berbanding RM4.45 bilion bagi tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, PAT yang rendah disebabkan kesan yang teruk akibat wabak COVID-19 serta akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menyekat aktiviti ekonomi.

 

"Bagaimanapun, kumpulan telah menunjukkan daya tahan di sebalik cabaran ini hasil kerjasama padu dan disiplin 35,000 warga kerja TNB yang berpaksikan komitmen kami untuk melaksanakan pelan strategik 10 tahun TNB, Reimagining TNB (RT).

 

"Prestasi yang rendah itu turut didorong oleh kesan daripada Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM613.4 juta, pendapatan pembiayaan yang rendah serta diskaun TNB sebanyak RM250 juta yang ditawarkan kepada pelanggan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN," ujar beliau.

 

Pendapatan kumpulan itu berkurangan 13.7% kepada RM44 bilion, berbanding RM50.9 bilion tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, ia berikutan jualan elektrik yang lebih rendah dan pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT). 

 

Margin EBITDA bagaimanapun kekal pada 40.9% pada FY2020 berikutan penurunan 20.6% perbelanjaan operasi memandangkan tindakan Kumpulan mengurangkan operasi berikutan kekangan pergerakan ketika pandemik COVID-19.

 

 

Pemulihan berterusan 

 

Beliau menambah, sektor Industri dan Komersial yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKPB dan PKPP, penguncupan permintaan elektrik menjadi semakin tidak ketara pada tiga bulan terakhir 2020. 

 

Penguncupan yang dicatatkan pada suku tersebut adalah pada -1.1%, jauh lebih rendah berbanding -12.9% ketika tempoh kawalan pergerakan pada suku kedua. 

 

“Dari segi kutipan, kami menyaksikan peningkatan pada suku terakhir 2020 dengan kadar kecekapan
kutipan pada 97.0% pada Disember berbanding 87.0% pada April 2020. Ia adalah petanda baik proses pemulihan secara berperingkat apabila aktiviti ekonomi bermula," kata Amir.

 

TNB turut menjangkakan proses pemulihan kumpulan yang dicapai pada separuh kedua tahun kewangan 2020 akan berterusan hingga tahun 2021 meskipun berdepan cabaran PKP.

 

Kumpulan tersebut juga mengambil langkah berhemah dalam aspek keperluan operasi dan kewangan untuk kekal berdaya tahan. - DagangNews.com