Lantiklah pengurus untuk manfaat takaful anda | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 17 January 2022
Wasiyyah

LANTIKLAH  PENGURUS UNTUK MANFAAT TAKAFUL ANDA

 

 

INDUSTRI takaful telah berkembang dengan pesat semenjak pengenalan Jadual 10 di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

Ramai orang  Islam kini sudah faham tentang kepentingan takaful dan telah pun menjadi peserta takaful bagi melindungi kebajikan orang-orang yang tersayang.

 

Malah ada orang yang saya kenali menyertai lebih dari satu skim takaful. Ini perkembangan yang sangat positif.

 

Memang takaful adalah cara terbaik dan ‘shortcut’ terpantas untuk mencipta aset bagi kegunaan sendiri ketika ditimpa musibah dan juga untuk memperuntukkan manfaat itu bagi kegunaan orang tersayang sekiranya kita meninggal dunia sebelum tamat tempoh matang polisi takaful itu.

 

Pengenalan kaedah hibah bersyarat di dalam Jadual 10 APKI 2013 itu memberikan kelebihan kepada peserta takaful untuk menghibahkan keseluruhan manfaat kepada sesiapa yang dikehendakinya.

 

Sebelum pengenalan akta ini, manfaat takaful akan diterima oleh Penama yang ditetapkan peserta takaful namun Penama itu bertanggungjawab untuk mengagihkan semula manfaat itu kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

 

Keadaan ini menimbulkan banyak masalah kerana waris mengikut hukum faraid bukan sahaja pasangan dan anak-anak, malah turut melibatkan ibu bapa dan kadang-kadang adik-beradik simati ataupun waris yang lain.

 

Sekiranya Penama itu tidak mempunyai hubungan baik dengan pihak-pihak ini ataupun tidak dapat mengenal pasti pihak-pihak ini dengan tepat, ia akan menjadi beban kepada Penama itu. Dengan pengenalan hibah bersyarat, masalah ini telah diatasi sepenuhnya.

 

Penerima hibah yang dinamakan adalah pemilik mutlak kepada manfaat takaful baik dari segi hukum syarak mahupun undang-undang Syariah dan kerana ia termaktub di dalam akta, maka status pemilikan ini juga mengikat dari sudut undang-undang sivil.

 


 

Wasiyyah

 


 

Namun pengenalan hibah bersyarat ini tidak membantu sepenuhnya memenuhi hasrat pewarisan peserta takaful.

 

Dia mungkin mahukan manfaat takaful itu digunakan bagi tujuan kebajikan dan pendidikan anak-anaknya.

 

Namun jika anak itu di bawah umur 18 tahun, walaupun dia menamakan anaknya sebagai penerima hibah, manfaat takaful itu tetap akan dibayar kepada pasangannya iaitu ibu atau bapa yang akan bertindak sebagai pemegang amanah kepada penerima hibah itu. Ini peruntukan undang-undang di dalam Jadual 10 itu.  

 

Keadaan ini berpotensi menimbulkan risiko kerana ibu/bapa kepada penerima hibah itu mungkin ‘terguna’ manfaat takaful bagi tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan kebajikan atau pendidikan penerima hibah kanak-kanak itu.

 

Contohnya apabila isteri menamakan anak bawah umurnya sebagai penerima hibah manfaat takafulnya dan dia mati, Syarikat takaful akan membayar manfaat takaful itu kepada suaminya iaitu ayah kepada anak itu.

 

Walaupun suami itu hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada manfaat itu bagi pihak anaknya, sentiasa ada kemungkinan manfaat takaful yang sudah dikreditkan ke dalam akaunnya itu akan ‘terguna’ bagi tujuan lain contohnya bagi melangsungkan perkahwinan kedua suami itu atau perbelanjaan bulan madunya dengan isteri baru. Mustahil keadaan ini berlaku kepada anda? Renungkan.

 

Saya rasa ramai peserta takaful yang sudah pun terfikir bagaimanakah mereka boleh memastikan manfaat takaful itu digunakan sepenuhnya mengikut formula yang dikehendaki dan mengelakkan risiko penyelewengan atau penyalahgunaan manfaat itu.

 

Ini sangat benar bagi peserta takaful wanita yang mempunyai anak bawah umur dan mahukan manfaat itu digunakan sepenuhnya bagi kebajikan anak di bawah umur 18 tahun mereka.   

 


 

Wasiyyah

 


 

Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan kaedah Isti’man pada 2018 bagi membantu menyelesaikan dilema ini.

 

Hibah bersyarat di dalam Jadual 10 hanya menjawab persoalan siapakah yang berhak ke atas manfaat takaful dan tidak menjawab persoalan pelaksanaan tanggungjawab sebagai pemegang amanah.

 

Peserta takaful boleh menggunakan kaedah yang dinyatakan di dalam Seksyen 7 APKI 2013 iaitu penyerahhakkan atau ‘absolute assignment’.

 

Kaedah ini jauh lebih efektif dari kaedah hibah bersyarat takaful. Malangnya ramai peserta takaful malah perunding takaful juga tidak mengetahui fungsi seksyen 7 ini.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah berdaftar boleh dilantik sebagai penerima hak oleh peserta takaful.

 

Apabila berlaku kematian atau keilatan kekal (total permanent disability) kepada peserta takaful itu, syarikat takaful akan membayar manfaat kepada Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai penerima hak.

 

Peserta takaful sebaik sahaja selesai urusan penyerahhakkan itu boleh memberikan arahan bagaimana manfaat takaful itu bakal diuruskan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad melalui satu surat ikatan amanah yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

 

Antara contoh arahan biasa yang kami terima ialah untuk membayar wang sara hidup untuk anak di bawah umur 18 tahun mengikut jumlah tertentu kepada pihak yang sepatutnya.

 

Di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), kami mempunyai kuasa untuk membuat penyiasatan siapakah penjaga (hadhinah) yang sah kepada anak di bawah umur 18 tahun ini.

 


 

Wasiyyah

 


 

Selepas dapat mengenal pasti penjaga (hadhinah) anak ini, kami akan membuat bayaran mengikut jumlah yang diarahkan oleh peserta takaful di dalam surat ikatan amanahnya itu.

 

Tugas ini sudah pun kami jalankan untuk beberapa pelanggan kami yang telah meninggal dunia. Jika arahan itu melibatkan bayaran wang sara hidup bulanan, maka pada setiap bulan kami akan mengkreditkan bayaran yang sepatutnya ke dalam akaun penjaga (hadhinah) anak itu.

 

Kami juga menerima pelbagai arahan lain seperti arahan untuk menampung perbelanjaan pendidikan anak di kolej/ universiti, perbelanjaan sara hidup dan perubatan pasangan, perbelanjaan bil utiliti seperti internet, elektrik dan air, perbelanjaan cukai tanah dan pintu, perbelanjaan pemuliharaan rumah, pelunasan semua hutang peserta takaful itu malah peruntukan perbelanjaan majlis walimahtul urus anak pun ada dimasukkan.

 

Semua perbelanjaan ini akan ditampung mengikut kadar dan arahan seperti yang tertera di dalam surat ikatan amanah yang dilaksanakan peserta takaful ketika hidupnya.

 

Bayangkan anda sebagai peserta takaful sudah pun meninggal dunia tetapi manfaat takaful anda yang bernilai ratusan ribu malah mungkin jutaan ringgit itu diuruskan secara tepat mengikut kehendak anda.

 

Kaedah Isti’man ini ibarat anda melantik seorang pengurus kewangan bagi menguruskan manfaat takaful anda secara profesional.

 

Sebagai syarikat amanah berdaftar, memang Wasiyyah Shoppe Berhad akan melaksanakan semua tanggungjawab yang diberikan dengan amanah kerana itu ialah peruntukan undang-undang yang mengikat kami.

 

Memberi hibah kepada individu dengan harapan dia akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi melaksanakan arahan anda adalah tindakan kurang bijak kerana sentiasa ada kemungkinan individu itu tidak amanah di dalam urusan tersebut.

 

Ada juga risiko besar individu itu akan mati sebelum dia sempat menunaikan semua tanggungjawabnya.

 

Wang manfaat takaful yang ada di dalam akaunnya akan dianggap harta pusakanya dan akan dituntut oleh waris-warisnya mengikut hukum faraid.

 


 

Wasiyyah

 


 

Walaupun wang manfaat itu sebenarnya adalah hak penerima hibah yang di bawah umur 18 tahun yang dipegang secara amanah oleh individu tersebut, akan wujud konflik dengan waris-waris faraidnya.

 

Bukankah kaedah Isti’man ini lebih terjamin bagi memastikan manfaat itu digunakan sepenuhnya mengikut kehendak peserta takaful?

 

Jika anda mahukan pengurus kewangan profesional menguruskan manfaat itu, lantiklah Wasiyyah Shoppe Berhad melalui kaedah Isti’man.     

 


       

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags