Laporan kredit MyCTOS percuma dengan CCRIS kini di eDompet Touch 'n Go | DagangNews Skip to main content

Laporan kredit MyCTOS percuma dengan CCRIS kini di eDompet Touch 'n Go

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, Eric Chin ketika mengumumkan kerjasama itu hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis – Pengguna eDompet Touch ‘n Go akan diberi laporan kredit MyCTOS percuma dengan CCRIS, selain terus mempromosi elemen pendidikan pengguna dalam konteks rangkuman kewangan. 

 

Inisiatif pertama seumpamanya dalam industri ini adalah hasil kerjasama strategik antara eDompet Touch ‘n Go dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS).

 

Promosi laporan MyCTOS percuma dengan CCRIS ini akan ditawarkan sehingga 31 Januari 2022. 

 

Kerjasama itu juga akan menyaksikan CTOS menyertai ekosistem eDompet Touch ‘n Go melalui inisiatif program mininya, yang mana pengguna eDompet kini akan menerima akses kepada peralatan untuk memudahkan pemeriksaan kendiri kesihatan kredit, serta mendapatkan artikel berunsur pendidikan mengenai kredit dan pelaporan kredit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, inisiatif itu dapat memperkasa dan mendidik warga Malaysia supaya memahami dan memiliki akses kepada kesihatan kredit sendiri adalah satu keperluan, khususnya di negara membangun dan ekonomi sedang berkembang. 

 

"Kami juga berharap agar orang ramai akan mendapati bahawa topik laporan kredit dan penarafan kesihatan kredit menjadi kurang menakutkan, dan seterusnya menggunakannya sebagai platform untuk memahami ruang serta meningkatkan profil kredit individu mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Laporan kredit peribadi CTOS mengandungi maklumat terperinci mengenai hutang seseorang, sejarah akaun untuk kad kredit dan pinjaman seperti sejarah pembayaran, termasuk sebarang pembayaran lewat, had kredit atau jumlah pinjaman, baki akaun dan pertanyaan kredit. 

 

Kes undang-undang dan kebankrapan juga disenaraikan di bahagian berasingan dalam laporan kredit beserta jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan. 

 

Bank dan pemberi pinjaman menggunakan maklumat ini sebagai sebahagian daripada proses penilaian kredit sebelum meluluskan permohonan kad kredit dan pinjaman.

 

Menyemak sebuah laporan kredit dapat membantu pengguna memahami perkara yang dilihat oleh bank dan cara penilaian dibuat untuk sama ada meluluskan atau menolak pelanjutan kredit. 

 

Pengguna juga boleh memeriksa untuk sebarang tanda kecurian identiti dan penipuan, litigasi atau kes kebankrapan yang didaftarkan di bawah nama mereka dan juga membetulkan sebarang ketidaktepatan yang mungkin muncul.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, Eric Chin berkata, di peringkat global, eDompet seperti eDompet Touch ‘n Go telah diterima pakai sebagai cara yang pantas dan mudah untuk pengguna menguruskan wang secara digital. 

 

"Di CTOS, kami berhasrat untuk memperkasakan seramai mungkin orang dengan peralatan serta pengetahuan yang betul untuk membuat keputusan kewangan yang baik dan menyemak laporan kredit MyCTOS anda adalah langkah pertama dalam perjalanan itu. 

 

"Perkongsian kami dengan Touch ‘n Go, peneraju pasaran eDompet Malaysia, akan membolehkan 16 juta pengguna eDompet mereka mengakses dan memahami kesihatan kredit mereka dengan mudah dan lancar,” katanya. - DagangNews.com