Skip to main content

Laporan perubatan Djokovic tidak mencukupi untuk masuk ke Australia

Novak Djokovic dihalang memasuki Australia untuk menyertai kejohanan Grand Slam Terbuka Australia. - skysports.com

 

 

MELBOURNE 6 Jan - Perdana Menteri Austalia, Scott Morrison memberitahu, laporan perubatan untuk pengecualian vaksinasi bagi memasuki negara itu yang dikemukakan Novak Djokovic adalah tidak mencukupi.

 

Visa pemain tenis No.1 dunia itu dibatalkan Pihak Berkuasa Sempadan Australia (ABF) dan akan dihantar pulang malam ini selepas dibawa ke Carlton Hotel selepas sembilan jam di tahan di Lapangan Terbang Melbourne.

 

"Dia tidak memiliki surat pengecualian perubatan untuk vaksinasi yang sah," katanya, lapor portal 9news.com.au.

 

Morrison berkata, ABF terpaksa bertindak atas 'kebijaksanaan' mereka untuk menghalang Djokovic yang terkenal sebagai atlet anti-vaksin daripada memasuki negara itu untuk menyertai Kejohanan Grand Slam, Terbuka Austalia.

 

Media Australia melaporkan, peguam Djokovic akan cuba menentang keputusan itu, manakala Presiden Serbia, Aleksandar Vucic menyelar layanan ke atas bintangnya itu.

 

"Apabila dia membuat kenyataan, apa yang akan dilakukan dan apa yang didakwa sudah semestinya perkara itu akan menarik perhatian ramai.

 

"Antara orang yang gemar menarik perhatian termasuk selebriti, ahli politik, pemain tenis, wartawan dan beberapa orang lagi dan mereka ini akan bertanya terlalu banyak soalan berbanding yang lain.

 

"Djokovic memberikan maklumat kepada syarikat penerbangan untuk membolehkan dia menaiki pesawat, tetapi itu bukan jaminan dia boleh masuk ke Australia kerana dia perlu patuh kepada undang-undang di negara ini," katanya.

 

Sementara itu, Djokovic akan memfailkan injuksi untuk menghalang daripada dia dihantar pulang kata sumber rapat pemain itu kepada Reuters.

 

Sumber sama mendedahkan kepada Reuters, permohonan visa dan kertas kerja yang digunakan Djokovic untuk memasuki negara itu adalah sama seperti tiga lagi pemain lain yang sudah tiba di negara itu. - DagangNews.com