Latar belakang ahli Lembaga Pengarah syarikat amanah ditapis ketat SSM | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 22 November 2021
Wasiyyah

LATAR BELAKANG AHLI LEMBAGA PENGARAH SYARIKAT AMANAH DITAPIS KETAT SSM

 

 

ARTIKEL saya minggu ini ialah sambungan cerita dari artikel minggu lepas iaitu tentang syarikat amanah.

 

Ini kerana ada komen yang saya terima, “Apalah yang bagus  sangat menggunakan perkhidmatan syarikat amanah sehingga dalam artikel minggu lepas saya mengatakan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhadlah yang sepatutnya menjadi pilihan terbaik kepada masyarakat dalam merancang harta. Tiada apa beza pun dengan syarikat sendirian berhad,’’ komen mereka.

 

Komen ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak faham fungsi dan bidang kuasa syarikat amanah walaupun telah dijelaskan secara terperinci sebelum ini .

 

Walaupun begitu, saya tidak akan jemu untuk menjawab persoalan seperti ini kerana memang ia menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin di dalam syarikat amanah untuk memberi pencerahan ini bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat. 

 

Kali ini saya akan bercerita pula mengenai aspek integriti Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat amanah.

 

Ini ialah antara perbezaan yang terbesar di antara syarikat amanah dan syarikat sdn bhd yang bergiat di dalam industri perancangan harta yang mungkin 99.9% dari masyarakat Malaysia tidak ketahui.   

 

Saya telah ceritakan sebelum ini bahawa pengawal atur atau regulator kepada syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Ketika kami memohon untuk mendapatkan lesen syarikat amanah, Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) memperuntukkan bahawa kami perlu menyerahkan (submission) satu kertas kerja lengkap.

 

Sebagai Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (ketika itu), saya telah diberikan tanggungjawab oleh Lembaga Pengarah untuk menyediakan kertas kerja ini secara terperinci mengikut keperluan peruntukan akta berkenaan.    

 

 

Wasiyyah

 

 

Kertas kerja yang saya sediakan itu setebal hampir 350 muka surat.

 

Di antara kandungan terpenting kertas kerja itu ialah pengalaman dan kepakaran kami di dalam urusan harta pusaka, kelayakan dan pengalaman sumber manusia yang tersedia, strategi dan pelan perniagaan kami, akaun yang telah diaudit semenjak 3 tahun kebelakangan (dari tarikh permohonan dikemukakan) dan bukti testimoni dan rekod perkhidmatan kami.

 

Dari segi kelayakan dan pengalaman sumber manusia, saya telah mengemukakan senarai nama ahli Lembaga Pengarah.

 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia sangat terperinci dalam meneliti profil ahli Lembaga Pengarah kerana inilah badan yang merupakan autoriti tertinggi yang menentukan polisi dan hala tuju syarikat. Setiap ahli Lembaga Pengarah perlu mengemukakan resume lengkap dengan kelayakan akademik dan pengalaman mereka.

 

Laporan CCRIS dari  Bank Negara Malaysia turut diserahkan di samping pengesahan dari Jabatan Insolvensi Malaysia  mengenai status insolvensi mereka. Akuan juga dibuat bahawa semua ahli Lembaga Pengarah tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di PDRM.

 

SSM akan menyiasat latar belakang setiap ahli Lembaga Pengarah secara terperinci pada peringkat tapisan ini. Jika ahli Lembaga Pengarah itu didapati seorang yang bankrap, tidak berintegriti, mempunyai rekod jenayah, mempunyai rekod kewangan yang bermasalah,  mereka tidak layak dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat amanah.

 

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pula, selain dari perlu membekalkan dokumen sama seperti ahli Lembaga Pengarah di atas, saya juga perlu menghadiri temuduga di SSM.

 

Di dalam temuduga itu saya ditanya mengenai kefahaman saya mengenai tanggungjawab seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat amanah dan bidang kuasa serta liabiliti undang-undang sebuah syarikat amanah.

 

Saya juga ditanya tentang tahap tadbir urus korporat dan pelan perniagaan Wasiyyah Shoppe Berhad. Pelantikan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif hanya sah apabila SSM memaklumkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat bahawa saya telah lulus temuduga tersebut.    

 

 

Wasiyyah

 

 

Kenapa pula SSM sangat menitikberatkan kelayakan ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah?

 

Seperti yang saya jelaskan dalam artikel sebelum ini, kuasa undang-undang yang dimiliki oleh syarikat amanah seperti diperuntukkan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) adalah sangat luas.

 

Orang awam boleh melantik Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai wasi atau pentadbir harta pusaka selain dari untuk bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak benefisiari untuk harta mereka sama ada harta alih.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad boleh bertindak untuk menguruskan harta-harta itu seperti yang diarahkan asalkan ia bertepatan dengan peruntukan akta tersebut.

 

Ada syarikat amanah menguruskan harta amanah milik individu atau organisasi sehingga berbilion nilainya.

 

Dengan kuasa yang sebegitu besar,  jika syarikat amanah diuruskan oleh orang yang tidak berkelayakan, tidak berpengalaman dan tiada integriti, ia akan mewujudkan risiko penyelewengan dan lain-lain risiko kepada masyarakat yang menggunakan perkhidmatan syarikat amanah itu.

 

Semua tapisan ketat ini dilakukan kerana sebagai regulator, SSM bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan masyarakat yang menggunakan perkhidmatan syarikat amanah itu terjamin selaras dengan peruntukan Akta Syarikat Amanah 1949 ( Akta 100 ).

 

 

Wasiyyah

 

 

Entiti Sdn Bhd tiada tapisan ketat

Sebaliknya, masyarakat perlu faham bahawa tapisan ketat seperti ini tidak dilakukan ke atas ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat sdn bhd yang bergiat di dalam industri perancangan harta.

 

Mereka tidak ditapis mengikut prosedur yang sama dan sesiapa pun yang dikehendaki oleh pemegang saham boleh mendakwa mereka ialah peneraju atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tanpa disaring kelayakan dan pengalaman mereka.

 

Pemegang saham juga boleh melantik sesiapa sahaja ahli Lembaga Pengarah yang dikehendaki tanpa mengira kelayakan atau pengalaman.

 

Keadaan menjadi semakin berisiko kepada masyarakat yang menggunakan perkhidmatan syarikat sdn bhd yang tidak mempunyai kuasa undang-undang ini apabila syarikat itu  beroperasi tanpa standard tadbir urus korporat dan operasinya tidak dipantau oleh SSM.

 

Malah ada antara mereka langsung tidak membuat penyerahan audit tahunan sehingga bertahun-tahun lamanya walaupun Akta Syarikat 2016 sangat tegas tentang isu audit tahunan ini.

 

Jika peruntukan undang-undang seperti serahan audit tahunan yang merupakan obligasi undang-undang pun gagal dipatuhi, apakah jaminan mereka akan menunaikan janji perkhidmatan mereka kepada masyarakat dalam urusan harta pusaka?

 

Kenapa tiada tapisan ketat?

Ramai juga yang bertanya kepada saya kenapakah syarikat sdn bhd yang bergiat di dalam industri perancangan harta tidak melalui tapisan ketat seperti yang dilalui syarikat amanah?

 

Jawapannya ialah kerana mereka memang tidak berdaftar dengan SSM sebagai syarikat amanah.

 

Mereka hanyalah sebuah syarikat sdn bhd sama seperti syarikat lain yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

 

Mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang seperti syarikat amanah dan menggunakan perkhidmatan mereka mendedahkan masyarakat kepada pelbagai risiko.

 

  

Wasiyyah

 

 

Bagaimana masyarakat boleh tahu butiran sesuatu syarikat itu bagi mendapatkan maklumat siapa pemegang saham, ahli Lembaga Pengarah dan adakah mereka secara konsisten menyerahkan laporan audit tahunan kepada SSM?

 

Jawapan saya ialah buatlah semakan di SSM melalui sistem MyData.

 

Urusan harta pusaka sangat terkait dengan undang-undang dan ia bersifat jangka panjang yang memberi kesan kepada waris-waris anda.

 

Integriti ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang menguruskan harta pusaka anda tidak penting? Fikirkanlah sendiri.

      

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

Portfolio Tags