LBS Bina dijangka lancar projek baharu bernilai RM1.77 bilion bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

LBS Bina dijangka lancar projek baharu bernilai RM1.77 bilion bagi FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan LBS Bina Group Berhad bakal melancarkan projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.77 bilion pada FY22F.

 

Firma itu berkata antara projek yang akan dilancarkan termasuk LBS CyberSouth , Alam Perdana, D’Island Residence, Genting, Bandar Putera Indah dan Taman Kinding Flora.

 

Katanya, sehingga 11 Mei 2022, kumpulan itu hanya melancarkan projek bernilai RM188 juta dan projek-projek baharu akan dilancarkan pada suku berikutnya.

 

"Selepas mengambil kira tempahan dan perancangan pelancaran projek baharu, kami percaya sasaran jualan bagi FY22F mampu dicapai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan LBS Bina Group bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 melonjak sebanyak 20% kepada RM30.16 juta daripada RM25.15 juta pada tahun lalu.

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan jualan dan aktiviti pembinaan selepas kerajaan memansuhkan larangan pergerakan COVID-19.

 

Margin pendapatan kumpulan itu juga meningkat sebanyak 1.61% kepada RM409.02 juta berbanding RM402.55 juta pada 1QFY21.

 

Majoriti jualan baharu mereka disumbangkan oleh projek di Lembah Klang iaitu sebanyak 91% untuk jualan bagi suku pertama dan diikuti Johor (5%), Pahang (2%) dan Perak (2%).

 

Sehingga 17 Mei 2022, jumlah jualan mencecah RM593 juta atau bersamaan 37% daripada sasaran jualan RM1.6 bilion bagi FY22F dan tempahan semasa berada pada paras RM561 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' untuk saham LBS Bina Group dengan harga sasaran (TP) RM0.64. - DagangNews.com