Lebih 1,800 keluarga B40 terima bantuan Tabung Warga TNB Prihatin | DagangNews Skip to main content

Lebih 1,800 keluarga B40 terima bantuan Tabung Warga TNB Prihatin

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Lebih 1,800 keluarga B40 di seluruh Semenanjung yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerima bantuan wang tunai dari Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) yang dilancarkan pada 9 Jun lalu.

 

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan berkenaan melibatkan agihan bernilai lebih RM1 juta.

 

“Secebis bantuan dari kami ini diharap mampu mengukir senyuman dan membawa rasa bahagia kepada penerima bagi menempuhi tempoh yang agak sukar ketika ini.

 

“Selain warga kerja TNB yang menyumbang kepada tabung dengan nilai lebih RM1.52 juta setakat ini, terima kasih saya ucapkan kepada pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman TNB yang bersepakat menubuhkan tabung, serta pelbagai pihak yang membantu kami mengenalpasti penerima bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid.

 

Mengulas berkaitan tabung berkenaan, beliau memberitahu, Tabung WTP adalah wadah untuk warga kerja syarikat berkaitan kerajaan itu (GLC) untuk terus membantu rakyat yang memerlukan dalam suasana pandemik yang berlanjutan.

 

Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan kesungguhan TNB menerangi kehidupan penduduk negara ini. 

 

Sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung itu adalah manifestasi nilai-nilai murni Budaya TNB iaitu prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan.

 

Nilai tersebut amat penting dalam usaha menyeluruh TNB membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Dalam menyokong usaha PPN, Mahdzir berkata, TNB menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

 

“Dalam suasana ramai yang tertekan akibat pandemik COVID-19, dengan ada yang kehilangan sebahagian punca pendapatan bahkan ada yang kehilangan pekerjaan, tabung amal ini juga memberi keinsafan kepada warga kerja kami untuk sentiasa berkongsi nikmat.

 

“Alhamdulillah, menerusi maklum balas penerima dari berbilang bangsa, ramai menyatakan bantuan Tabung WTP dapat meredakan kesusahan keluarga masing-masing,” ujar beliau lagi. 

 

Sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. - DagangNews.com