Lebih 2 juta penjawat awam, pesara dapat 'duit raya' | DagangNews Skip to main content

Lebih 2 juta penjawat awam, pesara dapat 'duit raya'


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April -  Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

 

Ini termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah Program Kerja Jangka Pendek (MYSTEP).

 

Pesara kerajaan juga tidak ketinggalan menerima bantuan khas itu sebanyak RM250.

 

Pejabat Perdana Menteri berkata, pemberian itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama semasa mengharungi tempoh mencabar ini.

 

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelum atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.

 

"Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan itu dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi," katanya.

 

Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji  Mei iaitu pada 6 Mei depan.

 

Bantuan khas tersebut akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara. - DagangNews.com

 

PM