Lebih 20,000 rumah luar bandar Sarawak bakal terima bekalan elektrik 24 jam | DagangNews Skip to main content

Lebih 20,000 rumah luar bandar Sarawak bakal terima bekalan elektrik 24 jam

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KAPIT  30 Sept. - Sebanyak  22,360 rumah luar bandar di Sarawak bakal menerima akses penuh bekalan elektrik 24 jam dalam beberapa tahun mendatang.

Sasaran yang dibuat oleh kerajaan negeri dan Kementerian Utiliti menerusi syarikat tenaga negeri itu, Sarawak Energy Berhad berdasarkan kemampuan penyelesaian sistem Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Jelas Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang, pelaksanaan itu juga termasuk memperluas infrastruktur transmisi dan pengagihan ke lebih banyak kawasan luar bandar.

 

Liwan Lagang
Liwan Lagang

 

“Sistem SARES menawarkan akses bekalan elektrik kepada perumahan luar bandar yang sama seperti penduduk di bandar. Walaupun mereka tidak perlu membayar bil elektrik, tetapi mereka bertanggungjawab ke atas operasi dan penyelenggaraan sistem itu.

“Sistem SARES menggantikan penjana diesel yang bising dan memberikan kemudahan bagi kehidupan masyarakat di sini dan di banyak komuniti terpencil Sarawak. 

“Kami harap anda dapat menjaga sistem ini agar dapat bertahan bagi tahun-tahun mendatang,"katanya dalam satu kenyataan oleh Sarawak Energy.

Lebih daripada RM2.37 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk projek elektrik berkenaan dalam tempoh dua tahun ini.

Sistem SARES menyediakan 3000Wh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui setiap hari, cukup untuk memenuhi keperluan asas isi rumah luar bandar seperti pencahayaan, kipas angin, televisyen, peti sejuk kecil dan periuk nasi yang membolehkan masyarakat mengurangkan keperluan untuk pergi ke bandar bagi membeli peruntukan dan diesel.

Melalui inisiatif itu, sebanyak 13  buah rumah panjang di Nanga Merit, Kapit, yang terdiri daripada 290 isi rumah dengan 2,200 penduduk kini memiliki akses ke tenaga solar 24 jam yang boleh diperbaharui. 

Bagi daerah Kapit, yang merangkumi Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mambong, lebih daripada 3,100 isi rumah dari 142 kampung terpencil, dengan jumlah 24,900 penduduk kini mendapat akses bekalan tenaga melalui SARES. - DagangNews.com