Lebih 58,000 peneroka FELDA setuju pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat | DagangNews Skip to main content

Lebih 58,000 peneroka FELDA setuju pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi ucapan ketika menghadiri pertemuan bersama wakil peneroka sempena lawatan kerja beliau di Felda Bersia hari ini. - Bernama

 

 

GERIK 24 Julai - Seramai 58,481 daripada 95,236 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat setakat semalam.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengurusan FELDA kini giat merangka pelbagai usaha termasuk turun padang dalam memberi kefahaman khususnya kepada peneroka yang masih kurang jelas mengenai pelarasan pinjaman itu.

 

“Masalah kurang kefahaman antara sebab masih ada baki peneroka belum memberi sebarang jawapan berhubung pelarasan pinjaman ini.

 

Umpamanya, pada peringkat awal para peneroka ini berpendapat bahawa jika mereka setuju untuk tandatangan, Felda akan ambil alih semua tanah ladang mereka itu. Itu persepsi yang salah. Sebaliknya, jika mereka setuju (tandatangan) Felda akan pastikan pengurusan tanah ladang mereka diurus dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas melawat Felda Bersia, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2021 pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju melupuskan sebahagian hutang pinjaman peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu.

 

Muhyiddin turut menegaskan pelupusan itu dilakukan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal yang telah berkorban untuk kejayaan program rancangan pembangunan tanah FELDA.

 

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata FELDA turut memantau perkembangan terkini berkaitan pandemik COVID-19 dan setakat ini sebanyak 142 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka di tanah rancangan itu di seluruh negara.

 

“Bagi meningkatkan vaksinasi di tanah rancangan yang tidak mempunyai PPV, FELDA telah menjalankan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) Mobile untuk melaksanakan PPV secara bergerak,” katanya. - DagangNews.com