Lebih 80% pemilik tanah setuju Kampong Bharu dibangunkan semula dalam projek RM1.2 bilion - MRSB | DagangNews Skip to main content

Lebih 80% pemilik tanah setuju Kampong Bharu dibangunkan semula dalam projek RM1.2 bilion - MRSB

MRSB telah memperoleh persetujuan majoriti penduduk dan seterusnya akan mengemukakan cadangan kepada DBKL.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Jun - Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) berkata lebih 80% pemilik tanah/petak di Kampung Bharu telah menyatakan persetujuan bagi pengambilan tanah untuk Projek Pembangunan Semula Flat PKNS bernilai RM1.2 bilion, Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

 

Dalam kenyataannya, MRSB berkata, pada awal tahun 2022, syarikat itu telah mengadakan mesyuarat tertutup bersama penduduk dan Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS, Kampong Bharu bagi membentangkan secara terperinci cadangan dan tawaran projek sekiranya projek pembangunan ini dilaksanakan.

 

Satu daripada syarat yang diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) kepada MRSB ialah mendapatkan sekurang-kurangnya 50% persetujuan pemilik tanah/petak bagi membolehkan pengambilan tanah dilakukan.

 

``Dengan usaha MRSB, persetujuan tawaran telah melebihi 80% sehingga kini, melebihi syarat yang ditetapkan," kata MRSB yang melaksanakan projek pembangunan semula itu secara usahasama dengan syarikat Jiankun International Berhad (JKI).

 

Kenyataan media MRSB turut memetik Pengerusi Jawatankuasa, Abdul Sani Ishak yang dilapor berkata: “Perjanjian yang diberikan oleh pemilik menunjukkan mereka mahukan pembangunan semula ini kerana ia akan menambah nilai kepada tanah sedia ada mereka.

 

"Mereka juga sedang menunggu Projek dimulakan secepat mungkin, sejajar dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur khususnya Kampong Bharu,” katanya.

 

JKI dan MRSB masing-masing mempunyai 70% dan 30% kepentingan dalam Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (MRPSB).

 

Menurut MRSB, ia adalah usahasama yang mantap kerana Pengarah Urusan MRSB sendiri juga merupakan Pengarah Eksekutif JKI.

 

"Ia juga penting bagi kedua-dua syarikat membangunkan Projek ini yang dilihat sebagai projek komuniti yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk selaras dengan tawaran pampasan dan kemudahan pembangunan menara kondominium 52 tingkat untuk dimiliki oleh pemilik sedia ada," kata syarikat itu lagi.

 

 

Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff
Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff

 


Pengarah Urusan MRSB Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengambil kira keperluan dan masalah setiap pemilik tanah sedia ada dan merangka pelan terperinci.

 

"Dengan keupayaan MRSB dan rakan kongsinya, saya sangat teruja untuk melihat projek pembangunan semula ini menjadi kenyataan dalam tempoh empat tahun dari sekarang,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Di bawah cadangan pelan pembangunan semula itu, sebuah menara pangsapuri 52 tingkat akan dibina untuk pemilik flat PKNS sedia ada. Sementara itu, tiga menara lagi akan dibina untuk pembangunan bercampur dengan unit kediaman dan runcit.

 

Tapak seluas 3.69 ekar itu juga terletak secara strategik, bersempadan di tepi Jalan Tun Razak. Hasilnya, ia adalah tapak utama untuk pembangunan semula memandangkan ketersambungan yang sangat baik, infrastruktur, pengangkutan awam, dan berdekatan dengan kawasan pusat perniagaan Kuala Lumpur.

 

Projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh MRSB dalam perjanjian usaha sama (JV) dengan Jiankun, menggunakan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Menara Rezeki Properties Sdn Bhd (MRPSB), sebagai syarikat JV.

 

Satu lagi nota positif ialah sokongan kewangan yang ditawarkan kepada MRSB oleh dua bank tempatan di Malaysia untuk projek pembangunan semula ini.

 

“Pemindahan penduduk sedia ada adalah penting kerana ia membolehkan perobohan Flat PKNS Jalan Tun Razak di Kampong Bharu dilakukan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan penduduk yang kini menduduki rumah pangsa dan tanah berkenaan.

 

"Ini juga akan mengekalkan identiti masyarakat kerana penduduk sedia ada akan terus kekal dalam pembangunan baharu,” kata Saiful Nizam. - DagangNews.com