Lebih baik PKP ‘separuh masak’ atau penuh? | DagangNews Skip to main content

Lebih baik PKP ‘separuh masak’ atau penuh?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Malaysia berjaya mencapai kes jangkitan COVID-19 rakyat tempatan angka sifar pada 8 Julai 2020 sehingga sinar pemulihan krisis ekonomi dan kesihatan dijangka menghampiri. 

 

Namun, dua bulan selepas itu, negara berdepan kes jangkitan yang kembali mencecah tiga angka pada awalnya, terus mencanak ke empat digit sekali gus mencatatkan purata 3,000 kes harian. 

 

Sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan silih berganti, dimulakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung Malaysia dan kini beralih semula ke PKP di seluruh negara kecuali Sarawak. 

 

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pula mengeluarkan kenyataan bahawa PKP tidak akan dilanjutkan selepas 4 Februari depan, sebaliknya mungkin kembali kepada pelaksanaan PKPB sehingga Mei 2021.

 

Peralihan sekatan pergerakan silih berganti ini mencetuskan persoalan, wajarkah pemerintah Malaysia mengenakan PKP yang lebih ketat seperti mana dilaksanakan pada tahun lalu atau terus memberikan kelonggaran?

 

Pilihan mana satukah yang kurang memberi impak kepada ekonomi, PKP ‘separuh masak’- membenarkan sektor perlu untuk beroperasi atau sepenuhnya?

 

Wajar untuk meletakkan keseimbangan antara keperluan kesihatan dan ekonomi negara, itu pandangan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof.

 

Imran Yassin
Imran Yassin Md. Yusof

 

Pelaksanaan PKP yang lebih ketat dalam jangka masa pendek tidak dinafikan mengawal penularan COVID-19 dengan lebih cepat, namun beliau mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi akibat pelaksanaan itu mengambil masa dan mungkin berlarutan. 

 

“Kita perlu mengambil kira impak kepada ekonomi. Ini adalah kerana pemulihan ekonomi daripada impak PKP yang ketat akan mengambil masa dan mungkin berlarutan selepas tempoh pelaksanaan itu tamat seperti penutupan perniagaan dan pembuangan tenaga kerja.

 

“Kami percaya kerajaan sedang merangka pelan ekonomi jangka panjang dan lebih komprehensif. Namun, kita perlu mengingati bahawa kita sedang menghadapi tempoh yang sukar akibat pandemik COVID-19. 

 

“Pada pendapat kami, keutamaan sekarang adalah untuk menstabilkan dan mengukuhkan keadaan ekonomi semasa bagi melepasi tempoh sukar ini. Seterusnya, pelan jangka masa panjang boleh diperkenalkan untuk merancakkan dan memastikan kelestarian ekonomi negara,” katanya yang mengulas persoalan DagangNews.com menerusi hantaran e-mel hari ini.

 

Bayangan PKP yang lebih ketat ini bermula apabila portal berita melaporkan kerajaan akan mengumumkan penutupan ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari depan.

 

Tindakan itu didakwa akan diambil sekiranya Malaysia terus mencatatkan peningkatan jumlah kes COVID-19, berdasarkan surat Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) yang diedarkan kepada ahlinya.

 

Bagaimanapun, desas-desus itu dimatikan oleh Noor Hisham, menyatakan PKP tidak akan disambung selepas tempoh berkenaan. 

 

Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid sebaliknya percaya intipati yang dikeluarkan itu mungkin lebih tertumpu kepada sektor pembuatan yang banyak ‘melahirkan’ kluster COVID-19 baharu.

 

Baharom
Baharom Abdul Hamid

 

Beliau memberi amaran bahawa sebarang sekatan pergerakan tidak boleh terus 'menjerut' perjalanan aktiviti ekonomi atas nama mencapai objektif kesihatan seterusnya menjejaskan kehidupan rakyat.

 

“Kerajaan telah membuat pengumuman untuk meredakan kegelisahan dan kegundahan bukan sahaja orang ramai, malah juga perniagaan dan pihak pelabur. 

 

“Kita harus akur, ketika kita mengetatkan sekatan pergerakan demi mengawal penularan COVID-19, kita tidak boleh 'membunuh' ekonomi dengan kekangan yang terlalu ketat.

 

“Dengan meneruskan sekatan yang sedikit longgar, ini akan memastikan bahawa di samping kita berorientasikan pengawalan penularan COVID-19, kita juga berhasrat memberikan ruang pemulihan dan seterusnya pengukuhan ekonomi negara,” kata Baharom yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA). - DagangNews.com