Lebih banyak syarikat mula memberi tumpuan membina kemampanan - ICDM | DagangNews Skip to main content

Lebih banyak syarikat mula memberi tumpuan membina kemampanan - ICDM

Michele Kythe Lim

KUALA LUMPUR 10 Jun - Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) mendapati kebanyakan syarikat mula memberi tumpuan untuk membina budaya kemampanan bagi mencapai prestasi yang lebih baik.

 

Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michele Kythe Lim berkata, sejak 2 tahun lalu, institut ini telah menyaksikan perubahan ketara dalam keutamaan dan dinamik lembaga pengarah.

 

Katanya, tumpuan lembaga pengarah dan keutamaan terhadap prestasi disokong oleh pemahaman tentang keperluan untuk menggerakkan budaya dan kemampanan.

 

"Dorongan untuk meningkatkan prestasi lembaga pengarah terbukti menerusi pertumbuhan berterusan dalam bilangan keahlian korporat dan individu kami, serta peningkatan pesat dalam permintaan untuk mendapatkan sumber pengarah luar dan penilaian lembaga.

 

"Kesediaan, atau perubahan sikap, persepsi dan penerimaan ini, menandakan usaha bersepadu untuk meningkatkan profesionalisme dan kepelbagaian. 

 

"Ini selaras dengan anjakan paradigma kepimpinan lembaga pengarah di Malaysia, iaitu membangunkan model kepimpinan yang tangkas dan berfokus pada masa depan untuk memastikan kemampanan dalam 3 bidang iaitu perniagaan, komuniti dan planet ini," katanya.

 

ICDM ialah pusat sehenti untuk semua lembaga pengarah dan pengarah, khusus bagi memperkasakankan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan minda yang betul serta kecekapan digital untuk meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan.

 

Diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti dan disokong oleh Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Dana Pembangunan Pasaran Modal, ICDM berfungsi sebagai institut pengarah negara dan bertujuan menjadi pengaruh utama kecemerlangan dalam tadbir urus.

 

Berdasarkan kepada laporan tahunan bagi tempoh Januari hingga April 2022, didapati komuniti keahliannya turut meningkat kepada 933 ahli individu dan 66 ahli korporat, mewakili peningkatan masing-masing sebanyak 39% dan 32% sejak April 2021.

 

Sebanyak 15 syarikat Malaysia telah memberi tanggungjawab kepada ICDM untuk menjalankan penilaian lembaga dan pengarah luaran setakat April 2022, meningkat berganda daripada tempoh laporan terakhir (Januari 2020 - April 2021).

 

Institut itu juga mendapati lebih banyak syarikat menggabungkan carian bebas dalam proses pelantikan lembaga pengarah.

 

Dalam tempoh yang sama, ia menerima permintaan sumber daripada 87 pengarah bebas, berbanding 42 dalam tempoh laporan sebelumnya.

 

Bagi 2022, ICDM akan terus mempercepatkan tadbir urus korporat yang baik dengan melaksanakan peranannya sebagai pemacu utama kecemerlangan dalam kalangan lembaga pengarah dan pengarah syarikat. - DagangNews.com