Lebih RM1 bilion ekuiti tempatan 'hangus' di tangan pelabur asing pada Jun  | DagangNews Skip to main content

Lebih RM1 bilion ekuiti tempatan 'hangus' di tangan pelabur asing pada Jun 

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sebanyak RM1.2 bilion ekuiti tempatan 'hangus' dijual pelabur asing pada Jun sahaja sekali gus menandakan aktiviti jualan secara berterusan buat bulan ke-17 berturut-turut. 

 

Menurut laporan bulanan CGS-CIMB, jumlah itu lebih tinggi berbanding jualan ekuiti yang direkodkan pada Mei sebanyak RM161 juta. 

 

"Pada separuh pertama ini, ia menyaksikan aliran keluar asing berjumlah RM4.2 bilion

 

"Ini menjadikan secara keseluruhan, sejak 2010 hingga kini, aliran keluar sudah mencecah RM37.6 bilion," katanya hari ini.

 

Sepanjang bulan itu juga, indeks utama FBM KLCI menjunam sehingga 3.2% atau 51 mata mencecah paras terendah 1,532 mata yang direkodkan 21 Jun lalu.

 

Malah, KLCI juga merupakan pasaran ekuiti terburuk dalam kalangan pasaran Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand (MIST) di rantau ini dengan menyusut sehingga 5.8% dalam tempoh separuh pertama.

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Firma itu berkata, kenaikan ketara jangkitan baharu COVID-19 yang menyebabkan kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh antara faktor yang menjejaskan sentimen pelabur. 

 

"Di samping itu, ketidakstabilan politik turut menjejaskan sentimen terutama apabila Yang Dipertuan Agong menitahkan supaya Parlimen segera bersidang secepat mungkin," tambahnya. 

 

CGS-CIMB juga mendapati, jumlah dan nilai dagangan purata harian juga jatuh ke paras terendah sejak April 2020 menunjukkan kurangnya minat belian dalam kalangan pelabur.

 

Jumlah dagangan susut 8% kepada 6.6 bilion manakala nilai dagangan jatuh 15% kepada RM3.4 bilion. 

 

Selain pelabur asing, menurut firma itu, pelabur institusi tempatan turut bertindak menjual ekuiti tempatan yang meningkat 512% pada Jun kepada RM1.12 bilion berbanding RM232 juta, bulan sebelumnya.

 

Pada separuh pertama ini juga, penyertaan pelabur runcit meningkat 39% berbanding purata 36% pada tahun lalu manakala pelabur institusi susut 44% dan pelabur asing pula 17%.

 

"Pelabur runcit kekal menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan pada Jun, meningkat kepada RM1.7 bilion berbanding RM485 juta pada Mei," katanya. - DagangNews.com