Lebih RM125 juta BWI disalurkan untuk mangsa banjir - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Lebih RM125 juta BWI disalurkan untuk mangsa banjir - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah RM125.504 juta berjaya disalurkan kepada negeri-negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah sehingga semalam.

 

Beliau berkata, bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS), prestasi pengagihan adalah 97.3% daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir meliputi lapan negeri.

 

Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah 50.8%.

 

“Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua pula adalah 57.3% meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor,” katanya semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula telah menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Pedana Menteri (ICU) menggunakan tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi pengagihan Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA) kepada ketua isi rumah yang layak.

 

Beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir kali ini.

 

pm

 

“Jumlah ini adalah bantuan secara terus oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan. 

 

"Selain daripada jumlah ini, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur, kerosakan dan sebagainya yang jauh melebihi nilai tersebut,” katanya.

 

Ismail Sabri berkata, antara bantuan lain yang diberikan adalah membina dan membaik pulih rumah;  baucar diskaun pembelian alat elektrik dan rebat bil elektrik bulan 12/2021; pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah; pinjaman TEKUN untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta moratorium pinjaman mangsa banjir.  

 

Sementara itu, perkembangan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur, Perdana Menteri berkata, 99.67% telah siap dilaksanakan bagi kerja pembersihan Fasa 1 melibatkan enam negeri iaitu Johor, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 18 Januari lalu.

 

“Manakala 100% bagi Fasa 2 yang melibatkan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka telah dibersihkan dengan jumlah sisa terkumpul yang dibersihkan bagi kedua-dua fasa adalah 85,516 tan,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, semua kawasan yang terjejas bekalan elektrik telah disambung semula sehingga 11 Januari lalu manakala 1,058 dari 1,066 infrastruktur komunikasi yang terjejas telah diperbaiki setakat semalam.

 

“Dalam pada itu, terdapat kerosakan infrastruktur awam, premis-premis kerajaan, kerugian perniagaan, kediaman rakyat dan lain-lain kerosakan sedang dinilai oleh agensi berkaitan,” katanya. - DagangNews.com