‘Ledakan’ nilai mata wang kripto menguntungkan MPI? | DagangNews Skip to main content

‘Ledakan’ nilai mata wang kripto menguntungkan MPI?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 April - Lonjakan besar-besaran dalam nilai mata wang kripto sejak kebelakangan ini dilihat memberikan sumbangan yang positif terhadap syarikat semikonduktor dan pembuatan elektronik, Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI). 

 

Ini susulan pakej tenaga MPI menjadi pilihan kerana kecekapannya, di mana penting dalam aktiviti perlombongan (mining) mata wang kripto, menurut penganalisis di Kenanga Research, Samuel Tan. 

 

“Permintaan terhadap pembungkusan cip tenaga (power chip) terus meningkat didorong oleh pengembangan pusat data dan permintaan tinggi bagi peranti pengguna akhir, hasil daripada aktiviti pengkomputeran web yang meluas seperti persidangan video dan pembelajaran dalam talian.

 

“Pada tahap tertentu, lonjakan dalam harga mata wang kripto menyumbang kepada pengembangan tersebut (pusat data) dan pakej tenaga MPI menjadi pilihan utama kerana kecekapannya, yang amat penting bagi menjana aktiviti perlombongan,” jelas Tan dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Menurut Tan, firmanya menjangkakan MPI bakal mencatatkan prestasi yang kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3Q21) malah, bertambah baik bagi suku-suku tahun seterusnya. 

 

Jelas beliau, ini didorong oleh permintaan tinggi bagi pakej berkaitan klip tembaga yang digunakan dalam automotif, pakej pengurusan tenaga untuk pengembangan pusat data dan pembungkusan frekuensi radio bagi pelancaran pangkalan stesen 5G.

 

“MPI tidak berdepan dengan masalah kekurangan cip dan yakin dapat mengekalkan margin walaupun harga komoditi meningkat, disumbangkan oleh kecekapan yang dipertingkatkan. 

 

“Pengembangan di Suzhou, China dan Ipoh dalam perancangannya untuk memenuhi jumlah tempahan tinggi daripada pelanggan,” tambah Tan lagi.

 

Kenanga meningkatkan unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak 9% kepada RM239.6 juta dan 11% kepada RM271.1 juta selepas mengambil kira permintaan tempahan yang tinggi dari pelanggan utama. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham MPI dan harga sasaran turut (TP) ditingkatkan kepada RM47.00 daripada RM43.00. 

 

Setakat 12.30 tengah hari, nilai saham MPI menyusut 22 sen kepada RM39.42. - DagangNews.com