Lee Hun Kheng dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLS Plantation | DagangNews Skip to main content

Lee Hun Kheng dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLS Plantation

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - PLS Plantations Berhad mengumumkan pelantikan Lee Hun Kheng sebagai ketua pegawai eksekutif  (CEO) kumpulan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengerusi PLS Plantation, Tan Sri Nazir Razak berkata, beliau akan kekal sebagai pengarah eksekutif di lembaga pengarah serta CEO unit ladang hutan kumpulan itu, Aramijaya Agri & Agro Sdn Bhd.

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dengan pelantikan Hun Kheng itu.

 

"Peranannya selaku CEO Aramijaya iaitu anak syarikat perladangan hutan kumpulan dan pengalaman 19 tahun beliau dalam sektor huluan dan hiliran industri perladangan sangat penting dalam membantu PLS Plantation dalam menjadikan mereka sebagai antara syarikat agrimakanan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pelantikan Hun Kheng itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kedudukan pengurusan kanannya dengan mereka akan mempelbagaikan perniagaan termasuk penanaman durian komersial bersama tanaman kontan serta ladang hutan.

 

Sebelum pelantikannya sebagai CEO Aramijaya, beliau adalah pengurus pemasaran yang bertanggungjawab meningkatkan penawaran produk, melalui penubuhan akaun baharu produk kayu dan mewujudkan projek penyelidikan dan pembangunan.

 

Beliau juga merupakan Persatuan Penanaman Diperbadankan, iaitu persatuan yang ditubuhkan untuk membangunkan dan memajukan kepentingan profesional ahli dalam industri perladangan. - DagangNews.com