Lee Kim Yew, Tan Choon Hwa dan Lim Hwa Tat dijangka jadi pemegang saham terbesar SMTrack | DagangNews Skip to main content

Lee Kim Yew, Tan Choon Hwa dan Lim Hwa Tat dijangka jadi pemegang saham terbesar SMTrack

Tan Sri Lee Kim Yew - pengasas dan pengerusi eksekutif Country Heights Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR 13 Jan – Tan Sri Lee Kim Yew, Datuk Seri Tan Choon Hwa dan Datuk Justin Lim Hwa Tat dijangka membeli lebih banyak saham di dalam SMTrack Bhd dan kembali menjadi pemegang saham terbesar syarikat tersebut.

 

Pemerhati industri merasakan pembelian saham tersebut perlu dilakukan berikutan pemilikan saham mereka menjadi lupus selepas proses pembesaran modal saham syarikat susulan penyerapan 75 juta nota boleh tukar tebus semula.

 

Desas-desus terbaru di pasaran, mengaitkan SMTrack dengan Country Heights, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, AHB Holdings Bhd, Techna-X Bhd, MQ Technology Bhd dan 5G Infratech Malaysia Sdn Bhd — dijangka mengumumkan sesuatu hari ini tetapi diubah ke Isnin depan berikutan kesibukan masa pemilik-pemilik syarikat berkenaan.

 

SMTrack adalah syarikat penyedia rumusan teknologi pengenalan berfrekuensi radio (RFID) untuk pelbagai kegunaan dan tersenarai di Pasaran ACE.

 

SMTrack Berhad terlibat di dalam pengedaran, penyelidikan, reka bentuk dan penggunaan tag pengenalan berfrekuensi radio. Ia menyediakan rumusan penjejakan dan pengesanan secara dalam talian menggunakan teknologi RFID dan menggunakan enjin penjejak dinamakan SMTrack.

 

Perkhidmatan dan rumusan yang ditawarkannya merangkumi Penjejakan Perdagangan, Makanan dan Pengesanan Terjamin, Komunikasi Padang Berdekatan (NFC), Pengurusan Fleet Sistem Kedudukan Global (GPS) dan Rumusan Anti-Pemalsuan RFID

 

Tan Sri Lee, yang merupakan pengasas dan pengerusi eksekutif Country Heights Holdings Bhd, telah muncul sebagai pemegang saham terbesar SMTrack pada 29 Disember 2021, setelah mengambil alih 28.5 juta saham atau 5.05% kepentingan di pasaran terbuka.

 

Pada 6 Januari, Tan Choon Hwa pula meningkatkan sahammnya kepada 5.4% daripada 3.16% sebelum ini, menjadikannya pemegang saham terbesar baharu SMTrack.


 

Tan Choon Hwa
Datuk Seri Tan Choon Hwa

 


Keesokan harinya, Justin Lim Hwa Tat iaitu pengarah urusan Sersol Bhd, pula mengambil alih 29 juta saham atau 5.14% ekuiti di dalam SMTrack juga di pasaran terbuka.


 

justim lim
                                           Datuk Justin Lim Hwa Tat

 


Pada hari yang sama, kedua-dua Tan dan Lim dilantik sebagai pengarah SMTrack.

 

Pelantikan dan perubahan pemegang saham itu berlangsung ketika berita mengenai sebuah GLC sedang merundingkan pelaburan 10% di dalam SMTrack, yang disahkan oleh syarikat itu pada 6 Januari lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: GLS bakal jadi pemegang saham utama SMTrack

 

SMTrack, menyaksikan sahamnya paling aktif diniagakan pada 12 Januari 2022, dengan 110.6 juta saham didagangkan sebelum ditutup tidak berubah pada 30 sen sesaham, memberikan nilai kumpulan RM191.75 juta.

 

Saham SMTrack telah mencatatkan kenaikan daripada paras 16 sen pada 29 Disember 2021 apabila Tan Sri Lee Kim Yew muncul sebagai pemegang saham.

 

Saham syarikat ini telah mencatat momentum menaik dengan volum menyaksikan kemampanan. SMTrack didagangkan di Pasaran ACE, pasaran khusus untuk syarikat-syarikat yang memilik prospek pertumbuhan baik. – DagangNews.com