Letak syarikat kredit & pajakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan - Matta | DagangNews Skip to main content

Letak syarikat kredit & pajakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan - Matta

Datuk Tan Kok Liang

Datuk Tan Kok Liang

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan dengan meletakkan syarikat kredit dan pajakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

Menegaskan perkara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Liang berkata, perkara itu adalah bagi memastikan adanya campur tangan kerajaan bagi memastikan syarikat kredit dan pajakan dapat melanjutkan lagi moratorium pinjaman dalam tempoh pandemik COVID-19.

"Sudah tiba masanya kerajaan meletakkan syarikat kredit dan pajakan ini di bawah pemerhatian Akta Perkhidmatan Kewangan atau peraturan lain yang berkaitan.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan tindakan sesuai untuk memastikan peranan syarikat-syarikat berkenaan sejajar dengan kebajikan, kepentingan awam dan kesejahteraan negara dalam tempoh krisis yang sukar ini," katanya dalam satu kenyataan.

Perkara itu disuarakan selepas meluahkan kebimbangan terhadap syarikat kredit dan pajakan yang tidak melanjutkan moratorium pinjaman seperti nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, seramai 10,000 pengusaha bas kini berhutang sehingga mencecah RM3 bilion meskipun sudah lama tidak dapat menjalankan perniagaan sejak Mac lalu akibat wabak.

Bagaimanapun, pengusaha bas berkenaan masih perlu membuat bayaran balik pinjaman kepada syarikat kredit dan pajakan.

Perkara tersebut sebenarnya telah dibangkitkan oleh Matta hasil aduan ahli yang mendakwa syarikat kredit dan pajakan membuat peraturan sendiri berkaitan moratorium tanpa mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Ironinya walaupun dalam perniagaan pinjaman dan pajakan, syarikat kredit dan pajakan tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sedangkan sudah lebih enam bulan industri pelancongan terutamanya pengusaha bas yang cuba mengetengahkan isu tersebut tetapi sehingga kini masih tiada tindakan untuk menangani isu ini secara serius.

"Apa yang menyedihkan, tiada satu kementerian pun yang berkaitan menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam industri pelancongan sehingga pandemik COVID-19 ini dilihat memberi kesan secara konsisten kepada pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sektor pelancongan berpotensi dianggap sebagai 'industri mati' pada 2021 sekiranya isu berkenaan tidak ditangani. - DagangNews.com