Skip to main content

LHDN masih ‘hutang’ bayaran balik lebihan cukai RM3.8b sebelum 2018

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) belum melunaskan bayaran balik lebihan pembayaran cukai tahun taksiran sebelum 2018 bernilai RM3.8 bilion, jelas Laporan Ketua Audit Negara 2019 (Siri Satu).

Menurut laporan berkenaan, penangguhan itu telah menyebabkan agensi berkenaan berdepan dengan pembayaran pampasan berjumlah RM38.29 juta bagi 135,960 kes sejak 2013 hingga tahun lalu. 

“Jumlah pampasan ini akan berterusan meningkat sekiranya pembayaran balik tidak dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan,” jelas laporan berkenaan seperti dipetik MalayMail. 

Penangguhan pembayaran berkenaan disebabkan oleh LHDN gagal untuk mematuhi polisi ‘Bayaran Balik Dahulu dan Audit Kemudian' (ReFal) yang ditetapkan agensi tersebut sendiri. 

Dalam pada itu, LHDN juga tidak mengikut memo dalaman yang mengarahkan agensi berkenaan untuk mendahulukan bayaran balik lebihan cukai taksiran 2017 dan tahun-tahun sebelumnya setelah diberikan peruntukan RM5.5 bilion daripada Kementerian Kewangan. 

Sebaliknya, LHDN memilih untuk menggunakan wang tersebut bagi membayar balik lebihan cukai pada 2019.  

Jabatan Audit Negara mencadangkan supaya LHDN untuk sepenuhnya menggunakan peruntukan itu bagi melunaskan pembayaran balik cukai taksiran tahun tersebut seterusnya patuh kepada dasar ReFal.

LHDN sebelum ini diminta untuk memberi penjelasan berhubung penangguhan tersebut.

Penjelasan itu menyatakan bahawa percanggahan yang menyebabkan keperluan audit tambahan itu menghalang pembayaran balik secara automatik serta maklumat pembayar cukai yang tidak dikemaskini. - DagangNews.com