LHDN pinda pengurusan fail pembayar cukai bagi kategori tertentu | DagangNews Skip to main content

LHDN pinda pengurusan fail pembayar cukai bagi kategori tertentu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika ini melaksanakan pengagihan pengurusan berpusat (centralize) dan tidak berpusat (decentralize) fail pembayar cukai syarikat dan selain syarikat bagi kategori tertentu. 

 

Perubahan itu berkuatkuasa 1 Januari selaras dengan dasar kerajaan berhubung layanan cukai bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain sebagai memenuhi keperluan Garis Panduan Pindahan Harga 2012 (Transfer Pricing Guidelines 2012). 

 

LHDN dalam sebuah kenyataan menjelaskan, langkah itu juga bertujuan bagi memastikan pengurusan fail pembayar cukai adalah lebih teratur, cekap dan sentiasa dikemas kini berdasarkan keperluan semasa.

 

“Hampir 97,000 fail cukai akan terlibat dengan proses pemusatan (centralize) dan pemencaran (decentralize) ini, di mana setiap pembayar cukai yang berkenaan akan dimaklumkan secara berperingkat melalui e-mel atau surat (bagi pembayar cukai yang tidak mempunyai e-mel). 

 

“Semakan notis pemakluman juga boleh dibuat menerusi aplikasi MyTax,” ujar LHDN.

 

Kriteria fail pembayar cukai yang terlibat dengan proses pemusatan dan pemencaran adalah seperti berikut:

 

Bil.

                                         Kriteria

                                            Tindakan

i.

Fail pembayar cukai syarikat di Semenanjung Malaysia yang mempunyai Jumlah Perolehan Sebenar (Perolehan / Jualan, Pendapatan perniagaan lain, Pendapatan lain dan Keuntungan tidak dikenakan cukai) sekurangkurangnya RM50 juta setahun.

Pemusatan fail cukai ke Cawangan Pembayar Cukai Besar (CPCB).

 

Pemusatan akan turut melibatkan fail anak syarikat yang berkaitan.

ii. 

Fail pembayar cukai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Persekutuan dari seluruh Cawangan LHDN di Semenanjung Malaysia.

Pemusatan fail cukai ke Cawangan Pembayar Cukai Besar (CPCB).

 

Pemusatan akan turut melibatkan fail anak syarikat yang berkaitan.

iii.

Fail pembayar cukai syarikat yang mempunyai transaksi dengan syarikat berkaitan (related companies) di luar Malaysia mengikut ambang (threshold) tertentu.

Pemusatan fail cukai ke Cawangan Cukai Multinasional (CCM).

iv.

Fail pembayar cukai syarikat yang berkaitan dengan industri huluan / hiliran petroleum, aktiviti insurans / takaful dan kewangan (tidak termasuk institusi kewangan yang beribu pejabat di Sabah dan Sarawak).

Pemusatan fail cukai ke Cawangan Industri Khas (CIK).

v.

Fail pembayar cukai Individu (OG dan SG) termasuk Individu Berprofil Tinggi (IBT) dari CPCB.

Dipencarkan ke semua Cawangan Utama LHDN berdasarkan rekod alamat premis perniagaan atau suratmenyurat di LHDN.

vi.

Fail pembayar cukai yang menggunakan poskod 47100 hingga 47190 (Kinrara dan Puchong) yang kini diuruskan oleh LHDN Cawangan Petaling Jaya.

Dipencarkan ke LHDN Cawangan Bangi, Selangor.

 

Tambah LHDN, sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan  Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. - DagangNews.com