LHDN sediakan kotak serahan rayuan BPR di Sarawak, Sabah | DagangNews Skip to main content

LHDN sediakan kotak serahan rayuan BPR di Sarawak, Sabah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di Sabah dan Sarawak kini boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan berkaitan permohonan rayuan BPR mereka melalui kemudahan kotak serahan (drop box).

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, kotak serahan itu disediakan di pejabat Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM serta di pejabat-pejabat daerah yang berhampiran. 

 

“Kemudahan kotak serahan ini akan disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun 2021. 

 

“Inisiatif ini diambil bagi memudahkan pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian, sekali gus dapat membantu mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19 kerana larangan merentas daerah. 

 

“Melalui kaedah ini pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap beserta semua dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat-pejabat yang dinyatakan di atas,” jelas LHDNM dalam satu kenyataan.

 

Bagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan adalah teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul atau mencantumkannya dengan kemas terlebih dahulu.

 

Waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR di Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil LHDNM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah pada 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari berdasarkan hari bekerja di setiap negeri dan melalui janji temu sahaja di portal rasmi BPR. - DagangNews.com