Lim Guan Eng, Phang Li Koon mengaku tidak bersalah | DagangNews Skip to main content

Lim Guan Eng, Phang Li Koon mengaku tidak bersalah

Lim Guan Eng, Phang Li Koon

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Selepas mengaku tidak bersalah terhadap pendakwaan di Mahkamah Sesyen sama semalam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini turut membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan rasuah.

Pengakuan sama turut dilakukan oleh ahli perniagaan, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dalam kesalahan terbabit.

Masing-masing membuat pengakuan selepas pertuduhan kes dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consiltancy Sdn. Bhd..

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn.  Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa melakukan kesalahan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan  denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Ahli perniagaan, Phang Li Koon pula didakwa telah bersubahat dalam kesalahan yang dilakukan oleh Guan Eng.

Koon didakwa melalukan kesalahan tersebut di tempat dan tarikh yang sama dan boleh dihukum mengikut undang-undang yang sama.

Bagaimanapun, ahli pernigaan itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan ke atas dirinya dalam kesalahan pengubahan wang haram dan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Dia didakwa menerima wang berjumlah RM87,009, RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Kesalahan tersebut dipercayai dibuat antara 7 Oktober 2013 hingga 3 Mac 2016.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara  tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. - DagangNews.com