Lim Seong Hai Capital Berhad memulakan dagangan sulung di Pasaran Leap pada 26 sen | DagangNews Skip to main content

Lim Seong Hai Capital Berhad memulakan dagangan sulung di Pasaran Leap pada 26 sen

Dari kiri: Pengarah Urusan Lim Seong Hai Capital Berhad, Lim Pak Lian; Pengerusi Bukan Eksekutif, Tan Sri Lim Keng Cheng; Naib Pengerusi Eksekutif, Datuk Lim Keng Guan dan Pengarah Urusan (Divisyen Mesin, Perkakasan dan Peralatan) Lim Keng Hun melakukan upacara memukul gong sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran LEAP pada 30 Julai 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai – Dalam mengimbau asal-usul serta kenangan mendiang bapa mereka, Tan Sri Lim Keng Cheng dan tiga adik-beradiknya telah berjaya menyenaraikan Lim Seong Hai Capital Berhad dalam Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini, menandakan langkah pertama untuk mempersiapkan Kumpulan bagi pemindahan penyenaraian pada akhirnya ke pasaran lain di bursa.

 

Adik-beradiknya adalah Naib Pengerusi Eksekutif LSH Capital Datuk Lim Keng Guan, Pengarah Urusan Kumpulan Lim Pak Lian, serta Pengarah Urusan (Bahagian Mesin, Perkakasan dan Alatan), Lim Keng Hun.

 

Pada jam 9.00 pagi, saham Kumpulan dibuka urus niaga pada 26 sen, yang merupakan premium 13 sen atau 100% lebih tinggi daripada harga Tawaran Awam Permulaan  (IPO) iaitu 13 sen sesaham, dengan jumlah dagangan pertama dicatat sebanyak 1,100,000 saham.

 

Pelaksanaan tersebut melibatkan Penyenaraian keseluruhan modal saham terbitannya berjumlah RM36,580,323.75, merangkumi 355,045,293 saham. Penganjur Penyenaraian itu adalah Keng Cheng, Keng Guan, Pak Lian, Keng Hun (4 Penganjur), dan Lim Seong Hai Resources Sdn Bhd, secara kolektif.

 

Penyenaraian dilaksanakan secara pengenalan dan tidak membawa kepada sebarang penjanaan dana lain setelah masuk ke Pasaran LEAP Bursa Securities. Ia hanya melibatkan penerbitan 35,859,575 saham baru kepada Pelabur Pra Penyenaraian pada harga langganan RM0.13 sesaham, yang mengumpulkan jumlah hasil sebanyak RM4.66 juta.

 

Astramina Advisory Sdn Bhd adalah Penasihat yang Diluluskan dan Penasihat Berterusan untuk Penyenaraian.

 

Setelah disenaraikan, 4 Penganjur akan memiliki kepentingan ekuiti tidak langsung sebanyak 62.34% secara kolektif dalam LSH Capital melalui Lim Seong Hai Resources Sdn Bhd. Yang terakhir itu dimiliki sepenuhnya oleh Lim Seong Hai Holdings Sdn Bhd, yang dimiliki oleh 4 Penganjur dengan 25% kepentingan ekuiti masing-masing. Keempat Penganjur itu juga akan memegang 6.89% kepentingan masing-masing dalam entiti yang disenaraikan, yang bermaksud keluarga Lim akhirnya akan memiliki keseluruhan kepentingan 89.90%.

 

Mengulas mengenai Penyenaraian itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Tan Sri Lim Keng Cheng berkata: “Ini adalah hari penting bagi keluarga Lim kerana akhirnya kami merealisasikan impian untuk menyenaraikan perniagaan yang didirikan pada tahun 1995 dan 1999 iaitu Lim Seong Hai Lighting dan Knight Auto.

 

"Kami selalu mengingati pedoman yang diajar mendiang bapa kami, iaitu selalu bersyukur mengenai asal-usul kita dan berjalan selangkah demi selangkah menuju kejayaan. Tidak ada jalan pintas dalam berniaga. Kami dapat meyakinkan para pelabur bahawa ini hanyalah permulaan dari banyak perkara baik yang akan datang, " katanya dalam kenyataan di sini.


 

Tan Sri Lim Keng Cheng
Tan Sri Lim Keng Cheng



 

Beliau menambahkan, secara tradisi, syarikat milik keluarga cenderung melaksanakan penyenaraian awam untuk mengumpulkan dana atau pengiktirafan dari masyarakat umum, tetapi untuk LSH Capital, tujuannya adalah untuk memberikan jaminan dan menunjukkan penghargaan kepada pelanggan setia yang telah bersama dengan Kumpulan selama ini.

 

"Walaupun bagi sesuatu yang kecil seperti jaminan produk atau perkhidmatan selepas jualan, Kumpulan meletakkan kepentingan pelanggannya terlebih dahulu dan percaya bahawa ia adalah jalan ke hapadan dalam meraih keyakinan  pelanggan semasanya dan akan datang," ujarnya.

 

LSH Capital sudah meraih tempah kontrak bernilai kira-kira RM69.7 juta untuk penyediaan produk lampu, produk dan perkhidmatan mekanikal serta kejuruteraan, serta bahan binaan dan penyewaan mesin untuk LSH33. Dari jumlah tersebut, RM63.2 juta dijangka akan diiktiraf dalam pendapatan Kumpulan untuk tempoh sehingga tahun 2024.

 

LSH33 adalah projek pembangunan harta tanah bercampur terletak di Sentul, yang mana memiliki akses langsung ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). Terdiri daripada 900 unit pangsapuri dan 32 lot komersial, LSH33 juga akan menempatkan kedai runcit baru LSH Capital untuk anak syarikatnya, serta ruang komersial bertema pencahayaan hiasan yang juga akan dibekalkan oleh Kumpulan.

 

Melalui anak syarikatnya, iaitu Lim Seong Hai Lighting Sdn Bhd dan Knight Auto Sdn Bhd, maka LSH Capital pada dasarnya terlibat dalam penyediaan bahan binaan, produk pencahayaan, dan produk dan perkhidmatan M&E, perkakasan dan alatan, serta penyewaan mesin.

 

Kumpulan mencatat pendapatan sebanyak RM48.12 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2020, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.14 juta. Untuk enam bulan pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021, Kumpulan mencatat perolehan sebanyak RM41.61 juta dengan PAT RM5.56 juta.

 

"Kami kini beroperasi dari 1 pejabat pusat, 8 kedai runcit dan 1 gudang di Lembah Klang. Kami berhasrat untuk mendirikan 2 lagi kedai runcit tambahan Lim Seong Hai Lighting dan 3 kedai runcit tambahan Knight Auto di Kuala Lumpur menjelang 2024. Jumlah anggaran kos untuk menubuhkan 5 kedai runcit tambahan ini adalah sekitar RM12.7 juta. Ini sebahagiannya akan dibiayai oleh hasil yang diperoleh dari Pelabur Pra-Penyenaraian,” katanya.

 

"Tambahan pula, kami telah melihat pertumbuhan yang besar dari penjualan e-dagang kami sejak beberapa tahun terakhir, yang mana sebahagiannya disebabkan oleh keperluan untuk membeli-belah secara dalam talian susulan kesan pandemik COVID-19."

 

Langkah seterusnya, Keng Cheng berkata, adalah untuk mendigitalkan operasinya dengan lebih lanjut, khususnya proses pesanan dan pengiriman bahan binaan, serta memperuntukkan lebih banyak sumber daya untuk e-dagang bagi peruncitan produk, perkakasan dan alat pencahayaan.

 

Beliau percaya bahawa pengalaman dan kepakaran gabungan 135 tahun dari empat penganjur dan pengarah LSH Capital dalam bidang pembinaan, pembangunan harta tanah, perakaunan dan kewangan dan M&E akan membantu mengekalkan pertumbuhan masa depan Kumpulan dan prestasi kewangan keseluruhan, untuk memposisikannya sebagai penyedia penyelesaian yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelanggan, iaitu selaras dengan pengamalan formula BEST.

 

Formula BEST adalah Strategi Lautan Biru untuk menjamin penjualan dan kontrak; Penyelesaian penambahbaikan untuk kewangan dalam perancangan aliran tunai; Kelestarian, dibuat berpatutan untuk pembuatan dasar perniagaan, serta Transformasi dan inovasi dalam penyelesaian kejuruteraan untuk projek dan pelanggan. - DagangNews.com