LintraMax dan Merchantrade bekerjasama sediakan ekosistem Tanpa Tunai di ladang seluruh Malaysia | DagangNews Skip to main content

LintraMax dan Merchantrade bekerjasama sediakan ekosistem Tanpa Tunai di ladang seluruh Malaysia

SEORANG pekerja menggunakan QuartoConnect ciptaan LintraMax bagi merekodkan maklumat mengenai tandan buah kelapa sawit yang dipetik. 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jun – LintraMax, peneraju penyedia penyelesaian pengurusan ladang kelapa sawit dan Merchantrade Asia hari ini mengumumkan usaha sama untuk membawa penyelesaian pembayaran digital ke ladang-ladang kelapa sawit di seluruh Malaysia.

 

Usaha ini adalah sebahagian misi mereka mendigitalkan operasi ladang dan menyediakan suatu ekosistem tanpa tunai.

 

Dalam usaha sama ini, kedua-dua syarikat akan memperkenal penyelesaian pembayaran digital Merchantrade kepada ladang-ladang kelapa sawit yang sedang menggunakan sistem pengurusan ladang Quarto daripada LintraMax. Mereka juga akan menghubungi pekerja-pekerja ladang untuk mengenalkan mereka dengan dompet digital Merchantrade Money daripada Merchantrade.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan LintraMax, Khor Kheng Khoon berkata, pihaknya cuba mengatasi masalah pemprosesan senarai gaji di ladang-ladang melalui usaha sama ini.

 

"Sekarang, banyak ladang masih lagi membayar gaji pekerja menggunakan wang tunai dan cek setiap bulan. Kaedah ini bukanlah yang paling cekap atau selamat, jadi LintraMax berharap menukar kaedah pembayaran gaji ini kepada digital, misalnya melalui penggunaan dompet digital.

 

"Dalam hal inilah kepakaran Merchantrade sangat penting, dan kami amat teruja dapat bekerjasama dengan mereka,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan LintraMax, Khor Kheng Khoon
Pengasas dan Pengarah Urusan LintraMax, Khor Kheng Khoon

 

 

Mengulas tentang usaha sama dengan LintraMax ini, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, “Kami teruja bekerjasama dengan LintraMax bagi membolehkan pengalaman digital yang lancar dalam ekosistem yang sedang berkembang mereka melalui e-dompet Merchantrade Money kami yang berinovasi.

 

"Kami percaya kerjasama ini suatu langkah yang pasti ke arah yang betul dan akan semestinya menguntungkan ruang pengurusan ladang dan mendorong pengambilan pembayaran digital. Ini kerana ia bukan sahaja menguntungkan syarikat perladangan malah secara langsung memberi kesan terhadap kehidupan harian pekerja dengan menggalakkan pengalaman digital.

 

“Di Merchantrade, kami terus menerus mengembangkan ekosistem perkhidmatan berkaitan kami melalui kerjasama dan perkongsian industri dan mencipta cara baru menawarkannya kepada segenap golongan masyarakat. Visi kami adalah untuk membawakan suatu tahap kemudahan serba baharu dalam kehidupan harian, sama ada bagi syarikat mahupun tenaga kerja mereka,” tambah Ramasamy.

 

“Melalui aplikasi e-dompet Merchantrade Money, pekerja akan menerima gaji mereka dan mendapat akses yang lebih besar kepada pembayaran digital. Ini membolehkan mereka membeli bekalan secara tanpa tunai dengan lebih mudah di samping menghantar wang pulang. Pekerja migran akan mendapati penyelesaian dompet digital kami ideal kerana ia sedia terdapat dalam pelbagai bahasa,” kata Ramasamy menyambung.

 

Kini terdapat kira-kira 100 syarikat perladangan di seluruh negara yang menggunakan sistem pengurusan ladang Quarto yang dibangunkan oleh LintraMax.

 

Khor berkata, penyelesaian pembayaran gaji digital dapat membantu syarikat mengurangkan risiko yang berkaitan dengan penggunaan atau penyimpanan wang tunai. Penyelesaian ini juga dapat membantu meminimumkan sentuhan fizikal semasa wabak COVID-19 dan memastikan ketelusan dalam senarai gaji syarikat.

 

“Pendigitalan adalah komponen teras kerja kami di LintraMax. Bagi menghasilkan kesan yang besar terhadap ekosistem perladangan, kami perlu bekerjasama dengan pakar-pakar bidang seperti dalam pembayaran digital.

 

"Kami semestinya berharap inisiatif ini akan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama supaya kita dapat menghasilkan kesan yang lebih besar dalam mendigitalkan ekosistem perladangan dalam negara kita,” ujar Khor. - DagangNews.com