Skip to main content

Liu Ying mahu berehat seketika sebelum umumkan perancangan masa hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying masih merahsiakan perancangan masa depannya selepas berpisah dengan gandingannya, Chan Peng Soon daripada arena badminton.

 

Selepas Peng Soon memutuskan untuk kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Liu Ying meminta untuk diberi ruang berehat seketika sebelum memutuskan perancangan seterusnya. 

 

“Saya masih tidak pasti lagi apa yang akan dilakukan selepas ini. 

 

“Tengok dulu keadaan macam mana. Sekarang ini apa yang dalam fikiran saya adalah saya nak cuti satu atau dua bulan dulu. 

 

“Mungkin selepas itu saya dah dapat jawapan, saya akan maklumkan kepada semua,” katanya. 

 

Liu Ying, 32, sebelum itu menerusi hantaran di Facebook miliknya memberitahu dia dan Peng Soon memohon maaf apabila terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada aksi di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang dijadual bermula 12 hingga 19 Disember ini.

 

liu ying

 

Katanya, tahap kecergasan menjadi faktor utama membuatkan mereka mengambil keputusan sukar berkenaan selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

 

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking ketiga dunia pada 2013.

 

Mereka juga memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi serta pelbagai kejuaraan antarabangsa. - DagangNews.com