LLA bukan tanah yang diusahakan peneroka - FGV | DagangNews Skip to main content

LLA bukan tanah yang diusahakan peneroka - FGV

Tanah milik Felda yang dipajakkan kepada FGV adalah seluas 350,733 hektar dan tidak melibatkan tanah yang diusahakan peneroka Felda. 

 


ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) menjelaskan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan Felda sama sekali tidak melibatkan tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda. 

Menurut FGV, pada masa ini, keluasan tanah Felda merangkumi lebih daripada 850,000 hektar dan tanah yang dimiliki peneroka Felda berjumlah 450,632 hektar. 

Bagaimanapun, katanya, tanah milik Felda yang dipajakkan kepada FGV adalah seluas 350,733 hektar. 

"LLA yang ditandatangani pada 1 November 2011 itu menetapkan bahawa aset-aset terlibat adalah ladang-ladang tidak termasuk tanah yang diusahakan peneroka Felda sedia ada. 

"Ia juga tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV," kata syarikat itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan 20 Oktober lalu. 

 

Baca : IPO bukan punca kejatuhan Felda - FGV

Felda menandatangani LLA dengan Felda pada 1 November 2011

Minggu lalu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, agensi berkenaan mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Langkah itu dibuat memandangkan selepas FGV disenaraikan, keuntungan Felda mula jatuh dengan banyak sehingga Felda terpaksa berhutang dengan bank dan hingga kini mencecah RM10 bilion.

Idris juga dilaporkan berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Felda dan kini sedang menunggu keputusan daripada kerajaan sebelum boleh memulakan rundingan dengan FGV.

Namun, jelas FGV, buat masa ini Felda masih belum menghubungi FGV mengenai LLA berkenaan. 

"Dalam hal ini, FGV bersedia mengikut prosedur yang telah digariskan dalam LLA, sekiranya kami menerima notis daripada FELDA mengenai perkara ini," katanya. 

Penjelasan FGV merujuk kepada kenyataan dikeluarkan 20 Oktober lalu.

Mengenai tawaran awam permulaan (IPO), FGV berkata, sehingga 28 Ogos 2020, pegangan saham Felda adalah sebanyak 21.24% dan pegangan saham Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd. (FAHC) pula 12.42%. 

"Ini membolehkan wakil Felda berada di dalam Lembaga Pengarah FGV. Dalam pada itu, pegangan saham Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) pula adalah sebanyak 4.751%," katanya. 

Syarikat perladangan itu memaklumkan, nama syarikat telah ditukar menjadi FGV Holdings Berhad pada 29 Jun 2018 dengan persetujuan semua pemegang-pemegang saham.

Dalam konteks ini, FGV berperanan dalam menyediakan perkhidmatan, sokongan teknikal dan bahan penanaman untuk ladang-ladang, peneroka-peneroka dan pekebun kecilnya. 

Peneroka Felda pula, katanya, membekalkan tandan buah segar (TBS) ke kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

 

Penjelasan FGV merujuk kepada kenyataan dikeluarkan 20 Oktober lalu.

Dari segi pembayaran FGV kepada Felda pula, syarikat itu menegaskan, jumlah yang perlu dibayar kepada Felda adalah RM248 juta (berdasarkan jumlah hektar tanah) seperti dinyatakan dalam LLA termasuk 15% daripada keuntungan operasi dari tanah LLA setiap tahun. 

Jelasnya, sejak 2016, terdapat penurunan pembayaran tetap LLA kepada Felda kerana penyesuaian jumlah hektar tanah yang dipajakkan.

"Penurunan ini disebabkan beberapa perkara termasuk pengambilan tanah oleh Felda, penyerahan tanah kepada Felda untuk tujuan perlombongan, pencerobohan ke tanah pihak ketiga, pertindihan tanah kilang serta proses perdamaian antara hak milik tanah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)," jelasnya. 

Sebelum itu, firma penyelidikan AmInvest menganggarkan Felda perlu membayar RM4.3 bilion kepada FGV yang dibuat berdasarkan LLA setakat akhir Disember 2019 dan perlu memberi notis 18 bulan kepada FGV jika mahu menamatkan perjanjian tersebut. - DagangNews.com