Lonjak pasaran hasil tani melalui OURFRESH | DagangNews Skip to main content

Lonjak pasaran hasil tani melalui OURFRESH

OUFRESH

KUALA LUMPUR 6 Julai - Petani tempatan berpeluang meningkatkan hasil pasaran produk mereka melalui platform e-dagang terbaharu iaitu OURFRESH yang diperkenalkan di bawah platform AirAsia OURSHOP.

Ketua Pemasarannya, Grace Chin berkata, platform itu adalah sebagai usaha pihaknya untuk menyokong petani tempatan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"OURFRESH menawarkan hasil yang segar dalam bentuk sejuk beku terus daripada sumber. Khidmat penghantaran pula akan dibuat pada keesokannya kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pemasaran, Grace Chin
Ketua Pemasaran, Grace Chin

 

"Kami lihat potensi produk sejuk beku semasa PKP dan memutuskan untuk perkenalkan OURFRESH sebagai ketegori baharu di platform e-dagang. Kami mahu pengeluar tempatan dapat mengembangkan lagi pasaran produk mereka di peringkat luar. Kita mulakan di sekitar Lembah Klang termasuk Pantai Timur dan Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, kesemua pengeluar dan petani yang terlibat juga berpeluang menyertai kursus peningkatan kemahiran Usahawan Kecil dan Sederhana (PKS)  yang dikendalikan oleh Akademi RedBeat dan Google secara percuma.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, kerjasama antara FAMA dan OURSHOP ini akan menyediakan platform e-dagang yang membantu memperkembangkan lagi perniagaan agro dengan lebih meluas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Abdul Ghariff Ramin
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Abdul Ghariff Ramin

 

"Ketika wabak COVID-19 melanda, terdapat lebihan bekalan pertanian tidak terjual disebabkan pasar tani tidak dapat beroperasi. Melalui platform ini, kami akan tampilkan pelbagai produk daripada 200 peladang yang membekalkan buah, sayur, ikan dan lain-lain.

"Menariknya, mulai hari ini hingga 31 Julai pelanggan di Lembah Klang akan menikmati penghataran secara percuma di OURSHOP dan diskaun potongan hingga 70% pada 7 Julai bersempena jualan promosi harian," katanya. - DagangNews.com