Luahan kecewa rakyat marhaen! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 27 December 2021
Wasiyyah

LUAHAN KECEWA RAKYAT MARHAEN !

 


 

MINGGU ini saya tidak menulis berkaitan harta pusaka. Saya merasakan penulisan saya tentang harta pusaka tidak begitu relevan dalam suasana sekarang.

 

Saya mahu menulis  pandangan  saya tentang bencana banjir yang melanda negara pada 18 Disember yang lepas. Ia merupakan satu bencana alam yang akan kekal dalam lipatan sejarah dan akan diperkatakan oleh generasi akan datang.

 

Banyak faktor diperkatakan tentang puncanya dan tekanan rendah disebabkan oleh ekor taufan rai menjadi punca utama kenapa taburan hujan yang turun dalam masa setahun, turun dalam masa dua hari sahaja.

 

Jumlah nyawa yang terkorban adalah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan di dalam sesuatu tragedi banjir  dan nilai kemusnahan harta benda rakyat adalah pada skala epik yang tidak terjangkau oleh fikiran kita.

 

Saya berkesempatan turun padang membantu usaha pembersihan rumah mangsa banjir. Tiada siapa yang menyuruh atau mengarahkan saya untuk turun padang tetapi hati nurani saya sangat tersentuh dengan penderitaan yang dilalui mangsa banjir.

 

Saya menggerakkan Wasiyyah Qaseh iaitu satu gerakan sukarelawan dalam kalangan staf Wasiyyah Shoppe Berhad untuk turun membantu masyarakat.

 

Kami bergotong-royong membersihkan rumah mangsa, menghulurkan sedikit bantuan tunai dan bekalan makanan.

 

Sumber dana yang digunakan ialah dana syarikat sendiri dan bukan kutipan sumbangan dari mana-mana pihak ataupun peruntukan Kerajaan.  


 

Wasiyyah

 


Sungguh sebak rasa di hati apabila ada antara mangsa ini bercerita sambil berlinangan air mata tentang kemusnahan harta benda mereka. Majoriti dari mereka kehilangan secara purata 80% dari harta benda mereka.

 

Keadaan rumah mereka seperti dilanda garuda. Hakikatnya, mereka semua sudah jatuh miskin.

 

Terlalu ramai mangsa yang bercerita air banjir naik terlalu cepat sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali pakaian di badan.

 

Mereka telah diselamatkan oleh penduduk setempat atau sukarelawan NGO dan individu. Ramai juga yang memberikan respon agensi Kerajaan lambat turun membantu.


 

Wasiyyah

 


Jika satu isi rumah kehilangan harta benda bernilai puluhan ribu ringgit, bayangkan jumlah kerugian keseluruhan apabila beribu-ribu rumah yang terjejas. Kita hanya mampu berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada mereka untuk melalui ujian ini dengan sabar. 

 

Namun saya rasa yang menjadi perhatian rakyat sekarang dan pada tahun-tahun yang mendatang dan akan kekal diperkatakan sehingga bergenerasi lamanya ialah tentang kegagalan pemimpin memainkan peranan pada waktu krisis sebegini.

 

Tidak pernah terbayang di dalam fikiran kita di Malaysia akan wujud situasi di mana mayat rakyat yang mati di dalam rumah atau di tepi jalan hanya ditemui selepas banjir surut. Situasi seperti ini saya hanya lihat di dalam filem atau dokumentari tentang negara-negara mundur.   

 

Ramai mangsa memberi komen bahawa tiada usaha penyelamatan dibuat ketika air banjir sedang meningkat dan mereka yang takut terpaksa berlindung di loteng atau atap rumah sehingga berbelas jam lamanya dalam keadaan bergelap, lapar dan dahaga.


 

Wasiyyah

 


Video tular seorang makcik berdepan dengan seorang menteri kabinet dan meluahkan perasaannya ‘secara terhormat’ adalah bukti bahawa rakyat sangat kecewa dengan kegagalan pemimpin bertindak segera membantu rakyat.

 

Ya benar ada pemimpin yang mulai turun padang tetapi itu pun selepas banjir surut dan diiringi pula oleh sekumpulan wartawan yang membuat liputan.

 

Pada ketika nyawa rakyat menjadi taruhan, pemimpin tiada di lapangan (kecuali beberapa orang pemimpin setempat). Penyelarasan kerja agensi-agensi penyelamatan kelam kabut dengan tiada ‘line of command’ yang jelas.

 

Ada agensi yang tidak menunggu arahan Kerajaan terus bertindak segera menyelamatkan mangsa banjir. Keadaan panik memaksa NGO dan individu yang prihatin menggerakkan sendiri usaha penyelamatan tanpa menunggu arahan sesiapa.

 

Merekalah yang menjadi ‘unsung hero’ berkorban tenaga, masa dan wang sendiri. Saya rasa sebak melihat bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama turun bersama-sama memainkan pelbagai peranan membantu mangsa banjir . Inilah keunikan dan kekuatan rakyat Malaysia. ‘Kita jaga kita’ menjadi laungan bersama.


 

Wasiyyah

 


Masalahnya ialah di mana peranan pemimpin yang kita undi? Jika rakyat yang terpaksa menjaga rakyat sendiri, buat apalah kita ada pemimpin yang dibayar gaji dan elaun dari hasil cukai yang dibayar rakyat?

     

Pemimpin hari ini seakan terlupa bahawa mereka berkuasa kerana mereka telah dipilih oleh rakyat dan pemimpin itu tanggungjawab dan akauntabilitinya adalah kepada rakyat yang meletakkannya di dalam kuasa itu.

 

Apabila rakyat mati kerana bencana banjir atas kegagalan pemimpin menggerakkan usaha penyelamatan dengan segera, tidak terdetikkah rasa bersalah di hati mereka? Tidakkah mereka merasa berakauntabiliti di atas kematian dan kesengsaraan rakyat? Bolehkah mereka tidur nyenyak ?

 

Dari pemerhatian saya, tidak ada seorang pemimpin pun yang dengan rendah hati memohon maaf kepada rakyat atas kegagalan mereka.

 

Sebaliknya mereka sibuk mengadakan sidang media membawa pelbagai dokumen dan minit mesyuarat sambil menuding jari kepada pihak lain dengan mendakwa itu bukan ‘bidang kuasa’ mereka.


 

Wasiyyah

 


Saya rasa ramai rakyat akan berperasaan sama seperti saya iaitu rasa menyampah,  mual dan muak dengan sikap pemimpin sebegini. Mereka masih mementingkan SOP dan bidang kuasa di saat rakyat mati dan sengsara.

 

Sebagai orang yang bertanggungjawab membangunkan tadbir urus organisasi, saya tahu SOP dan had kuasa itu penting dalam memastikan keberkesanan operasi organisasi. Namun itu di dalam keadaan biasa.

 

Di dalam keadaan darurat dan kecemasan takkanlah pemimpin yang kebanyakannya memiliki sarjana dan PhD ini telah hilang logik akal sehinggakan birokrasi didahulukan berbanding nyawa? Tidakkah pemimpin tahu menyelamatkan  nyawa itu menjadi keutamaan mengatasi semua perkara? 

 

Pemimpin bukan sahaja tidak berada di ‘medan perang’ ( sepatutnya mereka bersama-sama menyelamatkan rakyat meredah kegelapan malam dan kesejukan hujan ), malah ada pemimpin yang dengan semberono dan tidak sensitif menunjukkan kegembiraan bermain salji di media sosial.

 

Kalaupun benar itu urusan rasmi, tak perlulah berkongsi kegembiraan itu di media sosial di saat rakyat yang mengundinya mati, kelaparan dan kehilangan harta benda. Sensitiflah dengan keadaan semasa.   


 

Wasiyyah

 


Ada pula pemimpin yang lebih sibuk membelanjakan duit rakyat untuk menganjurkan majlis pelancaran sukarelawan banjir gilang-gemilang persis majlis pelancaran projek swasta.

 

Rakyat sedang sengsara pemimpin masih sibuk bagi ucapan kononnya untuk menunjukkan rasa keprihatinan? Di manakah rasa tanggungjawab dan akauntabiliti mereka? Tidak terasakah di hati mereka dengan kesengsaraan dan penderitaan rakyat? Dengarkah mereka rintihan rakyat?

 

Rakyat sudah pun cukup terkesan dengan bencana pandemik COVID-19. Ketika mereka baru mahu bangkit membina kehidupan semula, mereka ditimpa pula bencana banjir yang memusnahkan harta benda mereka.

 

Sewaktu COVID-19, ramai golongan M40 terjerumus menjadi golongan B40. Selepas banjir ini, berapa ramai lagi yang berada dalam keadaan ini? Mungkin Kerajaan perlu mula mengkategorikan semula status ekonomi masyarakat Malaysia  iaitu B80, M10 dan T10.

 

Saya mohon maaf kerana penulisan saya minggu ini agak emosional. Namun saya harap Dagang News akan menyiarkan penulisan ini bagi menyampaikan mesej kepada ‘pemimpin’ yang pada skala penilaian saya telah gagal segagalnya dan mereka mesti secara ‘gentlemen’, berani dan bermaruah, mengambil akauntabiliti terhadap kegagalan ini.


 

Wasiyyah

 


Dengan cara ini dapatlah mereka ‘menyelamatkan’ serba sedikit maruah mereka yang sudah pun musnah dan akan sekurang-kurangnya dikenang sebagai pemimpin yang bertanggungjawab di atas kegagalan sendiri.  

 

Saya rasa ramai pembaca akan bersetuju dengan saya bahawa jika emosi kita tidak terkesan dengan tragedi kematian dan kesengsaraan rakyat akibat banjir ini dan merasakan ia OK, maka memang benarlah hati kita sudah mati!

 


 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

DISCLAIMER: Tulisan ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com 
 
Portfolio Tags