LuLu Financial Holdings ambil alih 70.83% kepentingan NS Cashpoint Malaysia | DagangNews Skip to main content

LuLu Financial Holdings ambil alih 70.83% kepentingan NS Cashpoint Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Syarikat pegangan pelaburan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan pelaburan dalam perkhidmatan kewangan dan produk fintech di seluruh dunia, LuLu Financial Holdings telah mengambil alih 70.83% kepentingan dalam NS Cashpoint (NSC), sebuah syarikat pembayaran di Malaysia.

 

Pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik Lulu Financial Holdings untuk menyatukan kedudukannya di rantau Asia Pasifik dengan mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka bagi industri pembayaran.

 

Menurut syarikat berkenaan, NSC pula akan menerima kelebihan pengurusan rantaian nilai yang dibawakan oleh Lulu Financial Holdings.

 

Untuk rekod, syarikat UAE itu merupakan pelabur perkhidmatan dan produk kewangan yang diiktiraf di negara-negara Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC), benua kecil India dan Asia Pasifik.

 

Pengarah Urusan LuLu Financial Holdings, Adeeb Ahamed berkata, syarikatnya kini muncul sebagai jenama utama dalam perkembangan perniagaan mereka di rantau Asia Pasifik.

 

Adeeb Ahamed
Adeeb Ahamed

 

“Kami berbesar hati dapat menambah pelaburan kami dalam NSC. Malaysia merupakan pasaran keluar yang utama di Asia Tenggara dengan menyediakan perkhidmatan kepada beberapa koridor ekonomi yang bergantung pada ekonomi pengiriman wang.

 

“Menerusi perkongsian ini, kami berhasrat untuk memperkenalkan hasil daripada pelaburan global kami dalam teknologi dan kepakaran proses untuk mempelbagaikan lagi kualiti perkhidmatan kewangan yang ditawarkan di rantau ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Jelasnya, industri kiriman wang Malaysia agak kukuh dan menyediakan perkhidmatan koridor India, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Bangladesh.

 

Selain itu, Malaysia turut mencatatkan kiriman masuk yang tinggi dari negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Filipina, Arab Saudi, United Kingdom (UK) dan Singapura.

 

Ujar Ahamed lanjut, menerusi pengambilalihan itu, NSC akan dapat memainkan peranan yang proaktif dalam pemulihan ekonomi rantau tersebut seterusnya membawa perubahan bukan sahaja kepada perniagaan pengiriman malah pembayaran mata wang digital dan borong.

 

“Sebagai sebuah syarikat pelaburan kewangan, kami mahu meningkatkan nilai pelaburan kami dengan mencipta penyelesaian moden yang berupaya memudahkan urusan kewangan pelanggan sedia ada dan pelanggan kami yang baharu.

 

NSC boleh memanfaatkan kekuatan kami dalam bidang fintech untuk kelebihan mereka.

 

Selain itu, kedudukan kami sebagai antara pemain utama mata wang borong di Timur Tengah boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan mata wang borong syarikat dan mengekalkan Malaysia sebagai hab penyumberan dan penjelasan mata wang di rantau ini,” tambahnya. – DagangNews.com