MAA : TIV 2021 disemak lebih rendah, bimbang ramai pengedar kecil terpaksa henti operasi | DagangNews Skip to main content

MAA : TIV 2021 disemak lebih rendah, bimbang ramai pengedar kecil terpaksa henti operasi

 


KUALA LUMPUR 22 Julai - Jumlah keseluruhan industri (TIV) 2021 disemak semula lebih rendah sebanyak 5.6% kepada 500,000 unit berbanding 570,000 seperti diunjurkan pada Januari lalu.

 

Keadaan ini disebabkan faktor semasa ekonomi dan persekitaran dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19. 

 

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, perubahan itu dibuat selepas mempertimbangkan banyak faktor terutama berkaitan andaian mengenai arahan kerajaan bahawa kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan hanya akan dibenarkan dibuka semula menjelang Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"Oleh itu, kami tidak mencatatkan jualan dan pengeluaran, ia akan berlarutan ke beberapa bulan akan datang. 

 

"Kami tidak tahu bilik pameran dan kilang pemasangan kenderaan tempatan (CKD) kami akan diberi kebenaran untuk dibuka. Ini amat membimbangkan," katanya dalam sidang akhbar mengenai prestasi peniaga dan pengeluar kenderaan bagi separuh pertama 2021 secara maya hari ini seperti dilapor Bernama.

 

MAA telah menghantar beberapa rayuan kepada kerajaan untuk membolehkan sektor ini dibuka semula dengan prosedur operasi standard yang ketat, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus pekerja dibenarkan bekerja.

 

Aishah memberitahu, pihaknya mendapati ramai pengedar kecil agak terjejas dari segi aliran tunai dan jika ini berterusan, mereka terpaksa menutup operasi atau pekerja diberhentikan.

 

Ketidakpastian terhadap pandemik dan kemungkinan pengenaan semula langkah pembendungan COVID-19 mungkin akan melemahkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk permintaan terhadap kenderaan baharu. 

 

Satu lagi faktor yang telah mempengaruhi keputusan MAA untuk menyemak semula unjurannya adalah sentimen pengguna yang dijangka terus lemah. 

 

Sementara itu, TIV bagi kenderaan baharu yang didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama 2021 adalah lebih tinggi sebanyak 43.6% kepada 249,129 unit berbanding 173,545 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama sebelum ini disebabkan asas yang rendah pada suku pertama 2020 berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

 

Bagaimanapun, Aishah berkata, jualan kenderaan baharu bagi Jun 2021 turun 96% kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan semasa Mei disebabkan sekatan pergerakan di seluruh negara sepanjang Jun lepas. 

 

Tambah beliau, TIV pada Mac 2021 adalah yang tertinggi pada separuh pertama 2021 berikutan desakan untuk penghantaran oleh ahli-ahli MAA yang mempunyai tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2021.

 

"Jualan telah terhenti di beberapa buah negeri sejak 1 Jun lepas selepas sektor automotif tidak tersenarai sebagai aktiviti ekonomi penting. 

 

"Buat masa ini hanya bengkel kenderaan bermotor sahaja yang dibenarkan beroperasi," katanya. -DagangNews.com