Skip to main content

MAFI, syarikat peneraju meterai MoU rancakkan industri padi & beras

Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAFI dan syarikat peneraju di Dewan Serbaguna Wisma Tani Putrajaya, hari ini. ​​​​​​​

Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAFI dan syarikat peneraju di Dewan Serbaguna Wisma Tani Putrajaya, hari ini. 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 11 syarikat peneraju bagi menjayakan Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang merupakan penanda aras baharu dalam usaha membangunkan industri padi dan beras negara.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama tersebut adalah untuk  membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 150,000 hektar bagi fasa pertama.

 

Katanya, penanaman tersebut akan dijalankan secara berperingkat menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan dan sebagainya. 

 

"Secara umumnya, Program SMART SBB ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

 

"Ini memandangkan majoriti pesawah dalam industri padi dan beras negara masih mengusahakan tanah sawah yang bersaiz tidak ekonomik iaitu kurang daripada 2 hektar.

 

"Perkara ini jelas tidak mampu membawa pesawah keluar daripada paras kemiskinan yang membelenggu mereka selama ini," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis MoU tersebut di Putrajaya, hari ini.

 

.

 

Peningkatan populasi penduduk di negara ini akan terus meningkat untuk tempoh sepuluh tahun akan datang sekali gus memberi risiko kepada pengeluaran sumber makanan tempatan akibat perubahan cuaca dan iklim serta penyakit tanaman yang mengancam kestabilan sekuriti makanan negara.

 

Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kini berada pada paras sekitar 70% yang menyebabkan kebergantungan kepada bekalan beras import terutamanya daripada negara Vietnam, Thailand, Kemboja, India dan Pakistan.

 

Tambah beliau lagi, program SMART SBB penting sebagai keperluan bagi menangani isu ancaman terhadap kemampanan sara diri negara terhadap beras. 

 

Program Smart SBB dipercayai akan membantu Negara untuk mencapai sasaran SSL beras yang telah ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu sebanyak 75%.

 

Dalam pada itu, pelaksanaan program tersebut akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat peneraju untuk memainkan peranan dalam keseluruhan atau mana-mana peringkat rantaian nilai industri padi dan beras negara pasca pandemik COVID-19.

 

.

 

Jelas beliau, SMART SBB turut menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7.00 tan metrik dalam tempoh RMKe-12. 

 

"Program SMART SBB juga dijangka akan meningkatkan pendapatan golongan pesawah apabila kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung oleh pesawah akan dapat dikurangkan.

 

"Program ini dijangka akan meningkatkan purata pendapatan  pesawah daripada RM5,000 setahun kepada sehingga RM7,900 setahun. 

 

"Manakala, pendapatan bersih per hektar dalam setahun pula dijangka meningkat daripada RM5,400 sehingga ke RM15,600 sekiranya purata produktiviti per hektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran 7.0 tan metrik," ujar beliau lagi. - DagangNews.com