Mah Sing beli tanah di Bandar Baru Salak Tinggi pada nilai RM95.83 juta  | DagangNews Skip to main content

Mah Sing beli tanah di Bandar Baru Salak Tinggi pada nilai RM95.83 juta 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Oasis Garden Development Sdn. Bhd. telah mengambil alih sebidang tanah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor pada nilai RM95.83 juta . 

 

Oasis Garden pada 20 Januari lalu telah menerima surat kelulusan tawaran balas yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Sepang untuk memindah milik tanah berkenaan yang berukuran kira-kira 100 ekar. 

 

Surat kelulusan itu dikeluarkan susulan tawaran dari Oasis Garden bertarikh 3 Ogos 2020, menurut makluman Mah Sing di Bursa Malaysia. 

 

Dalam sebuah kenyataan berbeza, Mah Sing berhasrat untuk membangunkan tanah itu bagi tujuan pembinaan kediaman mampu milik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM656 juta.

 

Pada perancangan awal, pembangunan yang akan dinamakan sebagai M Senyum itu bakal menyaksikan projek rumah teres dua tingkat dengan ukuran tanah 18'X65 'dan 20'X70', harga bermula dari RM399,000, jelas Mah Sing. 

 

Kumpulan syarikat itu melihat pembangunan berkenaan sejajar dengan strateginya yang menumpukan kediaman bertanah mampu milik di kawasan pinggir bandar serta kediaman bertingkat di kawasan pusat perniagaan (CBD).

 

“Bergantung kepada keadaan pasaran dan kelulusan beberapa pihak berkuasa berkaitan, M Senyum dijangka dibangunkan dalam tempoh lima tahun dengan pendaftaran minat dan pelancaran disasarkan pada separuh kedua 2021.

 

“Ini juga menunjukkan strategi pemulihan pantas kumpulan syarikat yang akan membolehkan Mah Sing memenuhi permintaan pasaran semasa daripada pembeli rumah pertama dan penaik taraf dari kawasan bandar yang berdekatan.

 

“Dalam pada itu, pembangunan baharu ini juga mengukuhkan lagi komposisi portfolio Mah Sing dengan rumah mampu milik yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia ketika ini,” jelas kumpulan syarikat itu.

 

Projek itu akan menyaksikan pembangunan kediaman bertanah pertama Mah Sing pada tahun ini. 

 

Projek M Senyum dijangka menarik minat beberapa pembeli yang ingin menaik taraf pemilikan rumah mereka dari Kota Warisan, Bandar Baru Nilai, Dengkil, Putrajaya dan Cyberjaya. 

 

Mah Sing menyasarkan lebih banyak tanah yang sesuai dengan model perniagaannya di mana Kuala Lumpur dan Lembah Klang menjadi kawasan tumpuan, menggunakan kunci kira-kira yang sihat dengan wang tunai dan baki bank serta pelaburan dalam dana jangka pendek kira-kira RM1.13 bilion setakat 30 September 2020. - DagangNews.com