Mah Sing jual tanah di Shah Alam mungkin untuk bayar balik pinjaman - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Mah Sing jual tanah di Shah Alam mungkin untuk bayar balik pinjaman - AmInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Hasil daripada penjualan sebidang tanah di Shah Alam oleh pemaju hartanah, Mah Sing Group Berhad mungkin digunakan untuk membayar balik pinjaman syarikat, atau aktiviti mengumpulkan tanah bagi penjualan mahupun pembangunan pada masa depan.

 

Penganalisis di AmInvestment Bank Research (AmInvest), Lee Ching Poh membuat andaian tersebut walaupun langkah penjualan itu dilihat tidak mendatangkan impak ketara ke atas paras penggearan syarikat.

 

“Kami menjangkakan penjualan tanah kepada anak syarikat milik penuh Kumpulan Inta Bina, Angkasa Senuri Sdn Bhd bernilai RM9.3 juta itu akan menjana keuntungan bersih minimum sebanyak RM3 juta berdasarkan nilai buku bersih RM4.9 juta dalam laporan tahunan tahun kewangan 2020 (FY20) Mah Sing. 

 

“Ini menunjukkan peningkatan sedikit sebanyak 1% dalam unjuran keuntungan bersih utama FY21 kepada RM177.5 juta dengan penyusutan 0.6% secara margin bagi FY22 hingga FY23,” jelas Ching Poh dalam satu nota kajian.

 

Menurut Ching Poh, Mah Sing telah menjual sebidang tanah berukuran 3.2 ekar atau 12,871 meter kaki persegi yang terletak di M Cahaya, No. 1, Jalan Utarid A U5/A, Mutiara Subang, Seksyen U5, Shah Alam, Selangor.

 

Tanah itu membawa nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM155 juta setakat 31 Mac 2020, sementara penjualan tersebut dijangka selesai pada penghujung tahun 2021.

 

Kata Ching Poh, tanah berkenaan difahamkan baki daripada pembangunan projek Tapak Perindustrian (M Cahaya) Mah Sing di Sungai Buloh.

 

AmInvest positif terhadap strategi Mah Sing untuk mengewangkan tanah yang belum dibangunkan syarikat di Lembah Klang, di mana skalanya dilihat agak kecil untuk pembangunan projek yang penting. 

 

Dalam masa sama, langkah tersebut juga membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada projek sedia ada dengan prospek pasaran yang lebih baik. 

 

Buat masa ini, firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek jangka panjang syarikat, susulan pendedahan tinggi kepada projek tempatan dalam segmen hartanahnya memandangkan sekatan pergerakan di dalam negara masih lagi berjalan.

 

AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Mah Sing dengan nilai saksama pada kadar RM0.95 sesaham. - DagangNews.com