Mah Sing selesai penerbitan sukuk murabahah bernilai RM300 juta  | DagangNews Skip to main content

Mah Sing selesai penerbitan sukuk murabahah bernilai RM300 juta 


KUALA LUMPUR 21 Okt - Mah Sing Group Bhd telah menyelesaikan terbitan Sukuk Murabahah dijamin dan belum diberi penarafan bernilai RM300 juta dalam nilai nominal di bawah Program Sukuk Murabahah sedia ada syarikat.

 

Pemaju hartanah itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, nota jangka sederhana Islam yang dijamin dan belum diberi penarafan itu mempunyai tempoh lima tahun dengan kadar keuntungan tetap 4.90% setahun yang dibayar setiap setengah tahun.

 

“Hasil daripada sukuk itu akan digunakan bagi tujuan pematuhan syariah yang mungkin meliputi simpanan tanah, perbelanjaan modal, pelaburan dan modal kerja Mah Sing dan anak syarikatnya serta syarikat sekutu.

 

“Ia turut termasuk pembiayaan semula pinjaman sedia ada kumpulan dan penebusan sekuriti kekal yang belum diberi penilaian,” katanya, lapor Bernama.

 

Menurut Mah Sing terbitan Sukuk Murabahah itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, pemegangan saham pemegang saham utama dalam syarikat, dan aset bersih sesaham kumpulan.

 

“Kesan terhadap pendapatan sesaham dan kedudukan hutang bersih syarikat akan bergantung kepada penggunaan khusus hasil yang belum ditentukan buat masa ini,” katanya. 

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) telah dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama untuk program ini. - DagangNews.com