Mah Sing tingkatkan fokus kepada sarung tangan, selain pembinaan | DagangNews Skip to main content

Mah Sing tingkatkan fokus kepada sarung tangan, selain pembinaan


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Sebagai langkah menambah cabang pendapatan, syarikat pemaju hartanah, Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing) berhasrat untuk menceburi sektor sarung tangan sekali gus menjadi sumber keuntungan penting kepada firma itu. 

Berdasarkan prospek pertumbuhan memberangsangkan industri sarung tangan dan kepakaran Mah Sing dalam perniagaan plastik yang melengkapi sektor sarung tangan, Mah Sing dapat memanfaatkan peningkatan permintaan sarung tangan global.

Perniagaan sarung tangan berkenaaan dapat membawa Mah Sing untuk menembusi pasaran global yang dapat menambah baik prestasi jangka masa sederhana syarikat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran domestik dalam perniagaan hartanah.

“Kumpulan syarikat percaya cadangan ini dapat membantu mengurangkan risiko penurunan syarikat akibat penularan COVID-19 dalam ekonomi global dan tempatan. 

“Prospek jangka masa pendek pasaran hartanah akan kekal mencabar memandangkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sentimen pengguna dan keyakinan pasaran selain penurunan kelulusan kadar pinjaman dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM),” kata Mah Sing menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia. 

Seiring cadangan itu, anak syarikat tidak langsung Mah Sing, Mah Sing Heathcare Sdn. Bhd. (MSHSB),sebelum ini dikenali sebagai Kenwira Sdn. Bhd. akan membeli 12 kilang sarung tangan baharu yang dijangka menghasilkan jumlah kapasiti pengeluaran sehingga 3.68 bilion unit setahun. 

Pada 8 Oktober lalu, MSHSB juga menandatangani perjanjian sewa dengan Minho Kilning (Klang) Sdn. Bhd. untuk menggunakan separuh daripada tapaknya bagi menjalankan perniagaan sarung tangan.

Mah Sing telah menjalankan perniagaan plastik selama 40 tahun bagi pembuatan produk plastik yang dibentuk, menyumbang kepada pendapatan stabil kepada kumpulan syarikat itu. 

Perniagaan sarung tangan dapat memanfaatkan proses sedia ada daripada segmen plastik itu seperti perolehan bahan mentah, kawalan kualiti, penyelidikan dan pembangunan, logistik dan perancangan rantaian bekalan.

Bagi perniagaan hartanah pula, kebergantungan terletak pada kekuatan penjenamaan dan pemasaran, pengembangan perniagaan, perancangan projek dan bahagian sumber manusia.

“Pada masa akan datang, Mah Sing percaya permintaan sarung tangan global akan didorong oleh pertumbuhan industri perkhidmatan penjagaan kesihatan global, aktiviti pengeluaran industri dan industri bukan penjagaan kesihatan lain seperti makanan dan minuman, pelancongan serta peningkatan penggunaan sarung tangan dari negara sedang membangun,” tambah Mah Sing.

Perniagaan baharu itu dijangka menyumbang lebih 25% daripada keuntungan bersih syarikat dan sasaran pasaran termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta negara-negara lain. - DagangNews.com