MAHB bersiap-sedia terima kehadiran pelancong | DagangNews Skip to main content

MAHB bersiap-sedia terima kehadiran pelancong

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini bersedia bagi menerima kehadiran pelancong ke 39 rangkaian lapangan terbangnya susulan kelonggaran sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pihaknya menjangkakan lonjakan pergerakan penumpang dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan akan terus memastikan pematuhan SOP bagi memacu pemulihan yang berterusan untuk industri penerbangan.

 


Katanya, selain pelaksanaan langkah-langkah keselamatan untuk mengembalikan keyakinan penumpang terhadap perjalanan udara, kemudahan di kesemua lapangan terbang MAHB juga telah ditambahbaik untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

 

"Untuk tempoh setahun yang lalu kesediaan lapangan terbang menjadi faktor utama dalam memastikan perkhidmatan kami tetap relevan dan menepati standard keselamatan tertinggi.

 


"Kakitangan kami di semua lapangan terbang telah bersedia untuk beroperasi pada tahap kecekapan yang optimum bagi menerima kehadiran penumpang.

 

"Kami telah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap langkah-langkah keselamatan COVID-19 dengan lima lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching telah menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang ACI Global (AHA)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, penumpang kini boleh menikmati perkhidmatan lapangan terbang yang lebih baik kerana syarikat telah berjaya mencapai beberapa kejayaan penting semasa pandemik melanda.

 

"KLIA dan LGK kini tersenarai sebagai lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global untuk suku kedua 2021 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI)," katanya. -DagangNews.com