MAHB peruntuk RM400 juta perbelanjaan modal 2021 | DagangNews Skip to main content

MAHB peruntuk RM400 juta perbelanjaan modal 2021

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meletakkan peruntukkan sehingga RM400 juta bagi perbelanjaan modal tahun ini. 

 

Sebahagian daripada nilai itu digunakan bagi tujuan menambah baik sistem pengendalian bagasi (BHS) selain menggantikan aerotren miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, peruntukan berkenaan lebih tinggi daripada jumlah perbelanjaan pada tahun lalu. 

 

Mohd. Shukrie
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

“Sebilangan daripada perbelanjaan modal seperti BHS akan digunakan pada separuh kedua tahun ini.


 
“Semasa kami menutup buku bagi tahun 2020, MAHB telah mengurangkan lagi perbelanjaan modal kepada RM180 juta untuk tahun berkenaan bagi menjimatkan wang tunai,” katanya dalam sidang media secara maya, “Navigating Unprecedented Crisis and Way Forward (2021-2025)" hari ini. 


 
Pada awalnya, MAHB telah merancang untuk memperuntukkan perbelanjaan sehingga RM1.8 bilion pada tahun lalu. 


 
Tetapi, angka itu dikurangkan sebanyak 82% kepada RM320 juta sebelum diturunkan lagi kepada RM180 juta susulan penularan COVID-19.


 
Dalam pada itu, penambahbaikan BHS di KLIA dijangka beroperasi 30% lebih pantas dengan pengendalian 50 juta penumpang setiap tahun, jelas Mohd. Shukrie.


 
Namun, ujar Mohd. Shukrie, projek itu akan mengambil masa beberapa tahun sebelum selesai sementara dua projek aerotren pula dijangka selesai pada suku kedua 2023 (2Q23) dan 2Q24. 


 
Sementara itu, peningkatan dan pemulihan landasan 1 KLIA ketika ini pada kadar 70% dan dijangka siap menjelang Mac 2021 sementara pemulihan landasan 2 dijadualkan pada tahun 2026, ujarnya lagi. - DagangNews.com