MAHB serah pelan pembangunan Lapangan Terbang Subang kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

MAHB serah pelan pembangunan Lapangan Terbang Subang kepada kerajaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendedahkan bahawa kumpulan telah menyerahkan pelan strategik dan menyeluruh berjangka panjang bagi pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada kerajaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. 

 

“Kami mempunyai rizab tunai dalaman yang cukup untuk tujuan ini. Ini sesuai dengan kemampuan kami yang masih mempunyai kedudukan tunai dan pasaran wang kukuh sebanyak RM1.6 bilion dengan RM914.0 juta tersedia untuk operasi Malaysia.

 

Mohd Shukrie Mohd Salleh
Mohd Shukrie Mohd Salleh

 

“Pembiayaan untuk kemudahan siap atau siap dibina dapat dipermudahkan melalui kombinasi tunai dalaman dan juga pilihan pembiayaan projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada tahun 2005, kerajaan memberi mandat kepada MAHB untuk membangunkan LTSAAS sebagai sebuah hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan bertaraf antarabangsa. 

 

Jelas Mohd Shukrie lagi, sejak itu, MAHB telah mengembangkan ekosistem berkenaan dan telah menarik 60 jenama terkenal selain memudahkan aliran masuk modal lebih RM500 juta.

 

Sebagai rekod, sebanyak 35 pengendali penerbangan tempatan ‘bertapak’ di LTSAAS antaranya AeroTechnic (AAT) yang merupakan syarikat penyelenggaraan, pembaikan, dan operasi (MRO) terbesar. 

 

Lapangan terbang itu juga merupakan hab bagi pendidikan dan pembangunan keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 

Pada 2020, Mohd Shukrie berkata, ekosistem itu menjana sebanyak 50% daripada hasil aeroangkasa negara, bernilai RM5.7 bilion.

 

Baca : ‘Tauke’ Pavilion KL dilapor mahu beli lapangan terbang Subang, MAHB dakwa perkara biasa

 

“Melangkah ke hadapan, Pelan Pembangunan Semula LTSAAS MAHB akan mengembangkan ekosistem itu tiga kali ganda, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan kepada lebih daripada 100 pengendali yang akan mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

 

“Ia akan memacu peralihan Malaysia ke arah teknologi tinggi yang dipacu industri Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan negara berpendapatan tinggi dengan unjuran nilai lebih daripada RM10 bilion sumbangan untuk ekonomi negara. 

 

“Ini sejajar dengan teras strategi yang dikenalpasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan akan mencapai aspirasi Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” tambah beliau lagi.

 

Pelan yang telah disahkan melalui penanda aras luas dan penglibatan pihak berkepentingan itu, menggariskan tiga bidang fokus iaitu Ekosistem Aeroangkasa, Perniagaan Penerbangan dan Lapangan Terbang Komuniti Bandar. 

 

Ini bertujuan menjadikan LTSAAS sebagai hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Baca : Kenapa orang bantah lapangan terbang Subang diswastakan? 

 

Lapangan terbang itu akan memiliki pelbagai kemampuan dalam keseluruhan rantaian nilai kitaran hayat pesawat, daripada pembuatan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan hingga kitar semula pesawat akhir hayat. 

 

Ia juga akan menyediakan rangkaian lengkap perkhidmatan penerbangan perniagaan seperti FBO, operasi sewaan, hangarage, bahagian dan logistik, simulasi penerbangan dan pengendalian darat.

 

Sementara itu, model Lapangan Terbang Komuniti Bandar melindungi pilihan pasaran untuk lapangan terbang kecil yang mudah dengan tempoh pusingan cepat iaitu 15 minit dari pesawat ke tepi jalan. - DagangNews.com