Mahkamah Persekutuan kekal sabitan Najib dan jalani hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Persekutuan kekal sabitan Najib dan jalani hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dalam rayuan akhir bagi mengetepikan sabitannya dalam kes SRC International. - Gambar/ Bernama

PUTRAJAYA 23 Ogos - Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

 

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

 

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

 

Najib, 69, pada 8 Disember 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

 

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepadanya.

 

Beliau yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

 

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. 

 

"Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak," katanya, lapor Bernama.

 

Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

 

"Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan," katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

 

Najib yang kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik untuknya. 

 

Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman. - DagangNews.com