Majikan parah tanpa bantuan kerajaan - MEF | DagangNews Skip to main content

Majikan parah tanpa bantuan kerajaan - MEF

Majikan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Nasib kebanyakan majikan dan syarikat di Malaysia untuk meneruskan operasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP 2.0 sebenarnya masih pudar.

 

Kegelisahan itu kian menebal apabila PKP 2.0  yang dilaksakan semalam dua minggu ini dikatakan akan terus berlanjutan hingga sebulan atau awal Mei 2021.

 

Jika kita imbau semula fasa kelembapan ekonomi pada 2020 yang berpunca daripada penularan COVID-19, kira-kira 4% iaitu 32,000 daripada 800,000 majikan yang berdaftar terpaksa menutup operasi mereka.

 

Bagaimana dengan risiko pelaksanaan semula PKP 2.0 kepada majikan? Adakah lebih ramai yang terpaksa gulung tikar? Atau mereka lebih 'kebal' untuk bertahan berbanding PKP kali pertama tahun lalu.

 

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, PKP 2.0 serta pengisytiharan darurat akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi.

 

Beliau berkata, kebanyakan majikan di Malaysia iaitu kira-kira 650,000 majikan berada dalam industri mikro yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja.

 

Majikan tersebut hanya mempunyai keupayaan untuk bertahan selama kira-kira dua bulan tanpa sebarang pendapatan tambahan.

 

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan 

 

"Nasib dan jumlah majikan yang terpaksa menutup operasi mereka bergantung kepada berapa lama tempoh PKP 2.0 dan sama ada kerajaan akan memperkenalkan subsidi sebagaimana PKP kali pertama serta moratorium pinjaman.

 

"Diharap kerajaan dapat melaksanakan pakej rangsangan seperti Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) untuk membantu majikan mengekalkan pekerja mereka," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Nasib para majikan dan syarikat sama ada akan lebih parah atau sebaliknya jika PKP 2.0 dilanjutkan tidak hanya bergantung kepada tempoh pelaksanaan perintah tersebut.

 

Bagaimanapun, ia dapat ditentukan daripada pengumuman bantuan yang akan diberikan kerajaan.

 

Mengulas dakwaan berkaitan dengan pelaksanaan PSU yang dikatakan tidak diterima oleh pekerja, beliau memberitahu, sebenarnya isu dan permasalahan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan.

 

Katanya, PSU sebenarnya dibayar dan diberi kepada majikan dan bukannya untuk pekerja.

 

"Sebenarnya subsidi upah itu dibayar kepada majikan kerana majikan telah membayar gaji pekerja seperti biasa pada setiap bulan.

 

"Adalah tidak benar majikan perlu menyampaikan PSU itu kepada pekerja.

 

"Ia berbeza dengan ERP yang mana bayaran tersebut perlu diberi kepada pekerja yang diminta bercuti 30 hari tanpa gaji kesan daripada COVID-19," jelas beliau lagi.

 

Melihat kepada usaha untuk mengekalkan pakerja dalam tempoh getir ini, adalah menjadi keperluan untuk ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja saling berganding bahu.

 

Mereka mesti bekerjasama ada perlu ada 'give and take' supaya majikan dapat bertahan dengan lebih lama dalam tempoh ini.

 

"Ini bermakna, jika majikan terpaksa beri pilihan cuti tanpa gaji kepada pekerja untuk tempoh tertentu. Perkara itu perlu dipertimbangkan oleh pekerja supaya ada akhirnya mereka masih ada kerja lagi," ujar beliau. - DagangNews.com