Skip to main content

Majikan perlu pastikan SOP ladang sawit dipatuhi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pemain industri agrikomoditi perlu memastikan pelaksanaan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan wabak itu di ladang dan kilang.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil serius terhadap peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 terutama yang berpunca dari kluster di tempat kerja.

 

Sehubungan itu, katanya, majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan lebih tegas. 

 

"Antaranya seperti mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang serta memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dipatuhi setiap masa. 

 

"Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor agrikomoditi perlulah merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK dari semasa ke semasa.

 

SOP ini dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari lalu boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0.

 

Selain itu, Mohd. Khairuddin juga mengingatkan para majikan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

 

Pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. 

 

Ini kerana, katanya, pematuhan terhadap Akta 446 amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19. 

 

Beliau memberitahu, pihak kementerian turut mengambil maklum laporan media semalam berkaitan keputusan Kerajaan Negeri Sabah tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu berikutan penularan wabak itu.

 

Tetapi, sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari. 

 

Prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan dan 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam. 

 

"Dalam hal ini, kementerian mengalu-alukan langkah kerajaan negeri ini," katanya.

 

Menurutnya, tindakan majikan mematuhi SOP dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera. - DagangNews.com