Majlis Digital Johor bersidang bulan depan | DagangNews Skip to main content

Majlis Digital Johor bersidang bulan depan

Hasni Mohammad (kiri) ketika melancarkan Iskandar NEXT di Iskandar Puteri hari ini yang menyaksikan 8 pertukaran dokumen membabitkan 14 syarikat.

Hasni Mohammad (kiri) ketika melancarkan Iskandar NEXT di Iskandar Puteri hari ini yang menyaksikan 8 pertukaran dokumen membabitkan 14 syarikat. 
 

 


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Majlis Digital Johor akan mula bersidang buat kali pertama bulan depan, menandakan pencapaian penting di bawah Pelan Induk Digital Johor. 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi pelan di bawah inisiatif 7 Ikhtiar Makmur Johor, kerajaan negeri akan memanfaatkan kelebihan ekonomi dan geografi yang boleh digabungkan dengan kecekapan infrastruktur digital. 

Katanya, ekosistem digital mesti menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna sekali gus berupaya menarik firma berteknologi tinggi untuk melabur di negeri ini. 

"Dalam hal ini, saya menyeru semua pemain industri dan perniagaan untuk melabur dan bersama-sama membangunkan Johor terutama pelaburan yang sejajar dengan 7 Ikhtiar Makmur Johor. 

"Malah, kami menerapkan perubahan pantas dalam ekosistem digital dan kerajaan negeri akan menyahut cabaran ini," katanya dalam majlis pelancaran Iskandar NEXT di Iskandar Puteri, Johor hari ini. 

Pada majlis ini, beliau turut menyaksikan 8 pertukaran dokumen membabitkan 14 syarikat.

Majlis Digital Johor merupakan inisiatif untuk mempercepatkan hasrat kerajaan negeri memiliki sebuah Digital Bank pada masa akan datang.

Iskandar NEXT yang bermaksud 'New Economy Experience Talent’ merupakan Program Kerjasama Awam-Swasta dan rakan kerjasama untuk membawakan ekonomi digital baharu dan perniagaan termasuk bakat-bakat baharu dalam Iskandar Malaysia. 

Malah, ia juga akan meletakkan Iskandar Puteri sebagai pusat ekosistem perniagaan baharu dan destinasi pilihan untuk industri berkaitan revolusi industri 4.0 (IR4.0)

Menurut Hasni, adaptasi IR4.0 dalam sektor pembuatan akan membawa Johor ke tahap seterusnya, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi syarikat.  

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd. (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, sejak 2018, IIB telah berkembang dan menjadi pemangkin kepada syarikat induk di Iskandar Puteri. 

Secara keseluruhan, IIB telah mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan merentasi lima sektor dan menjana perolehan kira-kira RM400 juta kepada kerajaan. - DagangNews.com