Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan alukan dana RM35 juta dalam Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan alukan dana RM35 juta dalam Belanjawan 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. -  Dalam keadaan mencabar ketika ini, peruntukan sehingga RM35 juta oleh kerajaan dianggap sebagai amanah yang besar kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan (MHTC) untuk terus memacu industri berkenaan ke arah memulihkan ekonomi negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, pihaknya komited untuk menggunakan peruntukan belanjawan tersebut bagi merangsang industri pelancongan kesihatan sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui pendigitalan. 

“Bagi pihak MHTC, dengan rasa rendah diri, kami berterima kasih dan sangat menghargai sokongan berterusan daripada kerajaan yang telah memperuntukkan sebanyak RM35 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 sebentar tadi.

 

Sherene Azli
Sherene Azli

 

“Sehingga kini, MHTC telah membudaya dan mengadaptasi norma-norma baharu pasca pandemik COVID-19 dengan sokongan padu yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata MHTC dalam satu kenyataan hari ini. 

Industri pelancongan kesihatan telah diiktiraf sebagai antara perkhidmatan eksport utama yang berpotensi untuk mengukuhkan ekonomi negara. 

Tambah Sherene, MHTC mempunyai potensi untuk menyumbang sehingga RM10 bilion kepada ekonomi apabila industri kembali pulih. 

Jelas beliau, kepercayaan berterusan terhadap MHTC akan membuka lebih banyak peluang untuk mendukung transformasi dalam penjagaan kesihatan yang akan meningkatkan ekonomi sektor penjagaan kesihatan secara khusus, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Sokongan dan pengiktirafan terhadap MHTC ini juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai the World’s Healthcare Marvel,” kata Sherene. - DagangNews.com