Makin rumit ambil pekerja asing | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 17 September 2022

Makin rumit ambil pekerja asing

Nanyang Siang Pao 14 & 15 September 2022

 

 

 

KETIKA wabak semakin beransur reda dan ekonomi semakin pulih sekarang, isu kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor pertanian dan pembuatan telah menjadi batu penghalang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Bloomberg melaporkan kekurangan tenaga buruh dalam industri perladangan telah menyebabkan pengeluaran minyak sawit Malaysia merosot tiga tahun berturut-turut.

 

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) meramalkan pengeluaran minyak sawit negara akan berkurangan kepada 18 juta tan metrik tahun ini, berbanding 18.1 juta tan metrik pada tahun 2020 dan 19.1 juta tan metrik pada tahun 2021.

 

Selepas langkah pencegahan dan kawalan terhadap wabak COVID-19 dilonggarkan, MPOA telah mempercepatkan kemasukan pekerja asing.

 

Tetapi masih tidak dapat menampung permintaan tenaga kerja yang besar dalam industri kelapa sawit.

 

Difahamkan, jumlah kekosongan tenaga kerja dalam industri ini sekurang-kurangnya 120,000 orang.


 

apa

 


Walaupun beberapa kuota buruh telah diluluskan oleh kerajaan, tetapi urusan pentadbiran dan prosedur telah menyebabkan penangguhan sehingga pengusaha terlepas musim menuai.

 

Begitu juga dengan permintaan tinggi dalam industri runcit dan katering.

 

Tindakan kerajaan mengehadkan tempoh temu duga untuk majikan memohon kuota pekerja asing, mencetus kritikan ramai.

 

Mengikut jadual Kementerian Sumber Manusia, majikan boleh menyertai temu duga bagi permohonan kuota pekerja asing bermula 12 September.

 

Temu duga ini adalah merangkumi sub-sektor restoran, runcit, borong, pembersihan dan pencucian, hanya 20 slot temu duga diperuntukkan setiap hari Rabu.

 

Oleh kerana permintaan terhadap buruh asing dalam industri perkhidmatan adalah sangat besar, sistem dan pengurusan pusat sehenti (OSC) Kementerian Sumber Manusia adalah mustahil untuk menyelesaikan masalah permintaan pasaran untuk sekali gus.

 

KSM

 


Ramai yang mengejek, jika hanya 10,000 majikan daripada industri perkhidmatan memohon temu duga, kerajaan mungkin mengambil masa 10 tahun untuk menyelesaikan temu duga.

 

Ekonomi Malaysia kini sedang berada dalam landasan pemulihan yang baik, setiap industri sedang bersedia untuk maju ke depan.

 

Namun disebabkan kekurangan tenaga kerja, kekangan dasar dan langkah pengambilan bukan sahaja menjejaskan industri domestik, begitu juga beberapa industri yang dibiayai asing akan beralih ke negara atau wilayah lain dengan persekitaran pelaburan yang lebih mesra.

 

Syarikat Taiwan yang telah lama bertapak di Malaysia juga kini menyimpan hasrat untuk berundur.

 

Prasarana Malaysia yang sempurna, pendidikan yang berkualiti, rangka kerja dan kawal selia yang kukuh serta kebolehan tiga bahasa telah menjadi kelebihan besar yang menarik ahli perniagaan asing terutamanya daripada Taiwan.

 

Cuma dasar buruh yang sentiasa berubah telah menjejaskan operasi beberapa industri yang menggunakan buruh secara intensif.

 

Menurut maklumat yang didedahkan oleh Persatuan Pelabur Taipei di Malaysia (TiAM), hampir 90% ahli perniagaan Taiwan di Malaysia telah datang ke negara ini untuk menubuhkan kilang sejak 20 tahun yang lalu sehingga kini.

 

Hari ini, jumlah ahli perniagaan Taiwan yang baru memilih untuk melabur di Malaysia setiap tahun boleh dikira dengan jari. 


 

parafrasa

 


Bakat merupakan sumber penting dalam pembangunan sesebuah negara, tetapi Malaysia pula telah mendedahkan kelemahannya ini.

 

Pembangunan bakat, menaikkan gaji sebagai langkah memupuk bakat-bakat baru seharusnya menjadi strategi pasaran yang penting pada masa hadapan.

 

Selama bertahun lamanya, negara terlalu bergantung kepada tenaga buruh murah, industri kekal cara tradisi tidak berubah kepada pengeluaran automatik, kualiti produk tidak dipertingkatkan, daya saing dalam pasaran menjadi lebih lemah dan tidak berkembang.

 

Sudah tentu, pembangunan ekonomi negara tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan pelbagai jenis perusahaan perniagaan.

 

Walaupun kita memerlukan pengeluaran automatik dengan teknologi canggih, pembuatan berintensifkan buruh juga tidak boleh diabaikan.


 

parafrasa

 


Kita harus merangka pelan tindakan yang lebih komprehensif dan lengkap untuk pembangunan sumber manusia, mengimbangi keperluan pekerja asing, pekerja tempatan dan profesional bagi mewujudkan persekitaran pelaburan yang menggalakkan.

 

Seterusnya memastikan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh dan sihat. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 14 & 15 Sept 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags